BERITA TERKINI   Kerjasama itu membuka ruang penglibatan lebih strategik pada masa depan termasuk penerokaan potensi besar sektor gas asli Turkmenistan, antara pemilik rizab gas terbesar dunia - PMO | PM Anwar, Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedov hari ini saksikan pemeteraian kerjasama strategik antara Petronas dan pihak berkuasa Turkmenistan - PMO | Pencapaian ini hadir sempena 30 tahun kerjasama Malaysia, Turkmenistan dalam sektor tenaga, yang menjadi antara tonggak penting hubungan dua hala kedua-dua negara - PMO | Kerjasama strategik antara Petronas, pihak berkuasa Turkmenistan buka lembaran baharu dalam hubungan ekonomi dan tenaga antara Malaysia dan Turkmenistan - PMO | Ahli Gabungan Kelab Media Malaysia (GKMM) negeri terima sumbangan RM10,000, GKMM terima RM30,000 - Fahmi | 

Sistem Trafik Baharu KLIA Urus Pergerakan 45,000 Kereta Setiap Hari

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Malaysia Airports sedang menguji Sistem Pengurusan Akses Kenderaan (VAMS) di Terminal 1 dan 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap operasi lapangan terbang yang lebih pintar, selamat dan cekap.

Sistem automatik sepenuhnya ini menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), kamera pintar dan sensor untuk memantau aliran kenderaan semasa ketibaan dan perlepasan, mengurangkan kesesakan, mengelakkan tempat letak kereta haram atau digunakan secara berpanjangan dan memastikan aliran trafik di kawasan tepi jalan berjalan lancar.

Dengan adanya VAMS, penumpang boleh menikmati pengalaman di lapangan terbang yang lebih selamat, lebih mudah dan tanpa tekanan.

“VAMS membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas dan memastikan kawasan tersebut lebih selamat dan teratur untuk pelancong, sekali gus meningkatkan kecekapan dan keselamatan,” kata Malaysia Airports kepada Bernama.

Trafik harian di terminal KLIA boleh mencecah 45,000 kenderaan, dengan sehingga 5,000 kereta semasa waktu puncak, sekali gus menunjukkan keperluan untuk pengurusan kawasan tepi jalan yang lebih berkesan.

Berbanding lapangan terbang lain di luar negara, sistem di KLIA agak longgar, dengan tempoh tangguh selama 10 minit yang dicadangkan untuk masa menghantar dan mengambil penumpang.

Walaupun sesetengah lapangan terbang antarabangsa mengenakan had menunggu maksimum yang sangat singkat, tempoh masa di KLIA yang agak lama memudahkan penumpang diturunkan atau diambil tanpa sebarang tekanan atau dikenakan denda serta-merta.

VAMS direka untuk lebih mudah digunakan, dengan pelbagai lorong keluar dan marshal trafik bagi membantu penguatkuasaan dan kecemasan.

Sistem ini menggalakkan pengurusan kawasan tepi jalan yang telus dan saksama di samping menguruskan kelewatan yang tidak dijangka seperti trafik atau kerosakan kenderaan, bagi memastikan perjalanan yang lancar, selamat dan teratur untuk semua pengguna lapangan terbang.

-- BERNAMA