BERITA TERKINI   Sebahagian besar kandungan melibatkan penipuan dan judi dalam talian disebarkan menerusi Facebook - Fahmi | 91 peratus kandungan media sosial minta diturunkan adalah berkaitan scam dan judi dalam talian - Fahmi | Raja Permaisuri Agong sempurnakan penamaan, pelancaran Kapal Misi Pesisir TLDM, Tunku Laksamana Abdul Jalil di Istanbul hari ini | Permohonan Dana Pemangkin Generasi MADANI bernilai RM5 juta dibuka 1 hingga 30 Jun ini bagi sokong penghasilan kandungan kreatif - Fahmi | 

Khidmat Tengku Zafrul Sebagai Menteri MITI Berakhir Pada 2 Disember 2025

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengakhiri perkhidmatan beliau berkuat kuasa pada 2 Disember 2025.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata hari terakhirnya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.

“Hari terakhir saya di MITI adalah pada 2 Disember 2025. Oleh itu, memandangkan saya bukan lagi anggota Dewan Negara (untuk terus menyandang jawatan itu), sudah semestinya saya tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri,” katanya pada sidang media mengenai prestasi MITI bagi suku ketiga 2025 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menzahirkan hasratnya untuk membantu pengganti beliau dalam tempoh peralihan sebagai menteri baharu.

Ditanya sama ada bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai penasihat, beliau berkata tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu setakat ini.

“Tiada sebarang perbincangan mengenainya lagi...namun jika timbul keperluan itu, saya sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah menyatakan hasrat untuk terus membantu.

 “Oleh itu, saya masih menunggu keputusan perdana menteri. Saya juga tidak rasa perdana menteri membuat sebarang keputusan mengenai peranan saya selepas ini,” katanya.

Tengku Zafrul yang telah berkhidmat sebagai senator selama dua penggal sejak 2020 yang juga tempoh maksimum dibenarkan, akan menamatkan tempoh enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.

-- BERNAMA