BERITA TERKINI   Ketua Staf Markas ATM Azhan Md Othman dilantik Panglima Tentera Darat ke-31, berkuat kuasa 1 Jan 2026 - Mohamed Khaled | 

Pasaran Niaga Hadapan Getah Ditutup Tinggi, Menjejaki Pengukuhan Serantau

Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup  lebih tinggi hari ini, disokong oleh aliran menaik di pasaran niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah ringgit yang lebih lemah berbanding dolar US, menurut seorang peniaga.

Sentimen pasaran telah dirangsang oleh penurunan bekalan getah dari China selain pembukaan semula kerajaan Amerika Syarikat (AS).

"Wilayah pengeluaran getah terkemuka di China iaitu Yunnan dan Hainan, secara beransur-ansur akan memasuki musim penurunan pengeluaran menjelang akhir bulan ini, mengakibatkan kemelesetan berterusan dalam simpanan getah domestik serta inventori pelabuhan.

"Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya dihadkan oleh harga minyak mentah yang rendah dan data jualan kenderaan AS yang lemah susulan ketidakpastian ekonomi yang berterusan di AS," katanya kepada Bernama. 

Katanya lagi, niaga hadapan getah Jepun melonjak untuk sesi kelima berturut-turut pada hari Khamis, memandangkan kelemahan dalam yen dan bekalan getah China yang agak terhad  telah mengatasi tekanan daripada kejatuhan harga minyak.

Berdasarkan laporan semasa, minyak mentah Brent telah merosot 0.3 peratus kepada US$62.57 setong.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (MRB) melaporkan bahawa SMR 20 naik 11 sen kepada 730.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal kekal tidak berubah pada 568.5 sen sekilogram.

 

-- BERNAMA