BERITA TERKINI   Penerangan mengenai krisis bekalan global akan dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan - Akmal Nasrullah | Malaysia kekal pendirian tidak iktiraf junta Myanmar, lawatan tidak rasmi saluran komunikasi tangani krisis - Mohamad Hasan | ASEAN teliti pendekatan baharu perkukuh pelaksanaan 5PC bagi krisis di Myanmar - Mohamad Hasan | Sehingga 18 Jun lepas, pembiayaan lebih RM700 juta telah diluluskan kepada lebih 1,000 PKS - Akmal Nasrullah | Jumlah tenaga buruh meningkat 17.33 juta orang setakat April 2026, kehilangan pekerjaan turun 6,197 orang setakat 22 Jun - Akmal Nasrullah | 

Peningkatan Pengeluaran Getah Asli Kurangkan Import, Beri Penjimatan RM4 Bilion

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan berpendapat peningkatan pengeluaran getah asli kepada sekurang-kurangnya 400,000 tan getah sekerap dan 20,000 tan lateks secara langsung mengurangkan kebergantungan kepada import dengan penjimatan dianggarkan sebanyak RM4 bilion.

Kementerian Perladangan dan Komoditi berkata, usaha meningkatkan pengeluaran getah asli bagi memenuhi keperluan industri domestik akan mengembalikan daya saing industri getah negara.

Sehubungan itu, kementerian itu berkata Lembaga Getah Malaysia (LGM)  melaksanakan beberapa langkah strategik bagi menjamin harga getah yang mampan dan stabil seterusnya sebagai langkah sokongan pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup penoreh getah.

"Insentif Pengeluaran Getah bertujuan satu daripadanya menjamin kebajikan pekebun kecil apabila harga jatuh di bawah Paras Harga Pengaktifan. 

"Program Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil melalui penglibatan langsung mereka dalam menjual getah sekerap terus ke Pusat Pemprosesan Getah Krip (PPGK)," katanya dalam jawapan bertulis untuk sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawap lisan di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Strategi lain, kata kementerian itu termasuk memperkenalkan Insentif Pengeluaran Lateks (IPL +) iaitu projek rintis yang sedang dilaksanakan di Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan selain bertujuan menggalakkan pengeluaran lateks. 

Kementerian berkenaan memberitahu melalui pelbagai insentif yang disediakan, pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks turut menikmati pendapatan yang lebih stabil dan tinggi berbanding pengeluaran getah sekerap.

Kementerian itu berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Adnan Abu Hassan (BN - Kuala Pilah) yang bertanyakan mengenai strategi kementerian dalam menjamin harga getah mampan melalui pelaksanaan mekanisme harga lantai, pengukuhan pasaran hiliran serta langkah sokongan pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup penoreh dan daya saing industri getah negara.

-- BERNAMA