BERITA TERKINI   Kerajaan MADANI peruntuk RM60 juta khusus untuk program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini - PM Anwar | Kerajaan Persekutuan lulus peruntukan RM1.8 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 18 buah sekolah tahfiz, sekolah pondok di Terengganu sepanjang tahun ini - PM Anwar | Sekolah tahfiz, sekolah pondok seluruh negara perlu kuasai ilmu teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) - PM Anwar | PM Anwar mahu projek pembinaan Kolej Matrikulasi Terengganu di Marang disegerakan | Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Mengukuh, Kembali Cecah Paras 4.12 Berbanding Dolar AS

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika jangkaan terhadap penurunan kadar faedah AS pada Disember semakin ketara, sekali gus mengasak tekanan terhadap mata wang negara maju berkenaan, kata penganalisis.

Pada 8 pagi ini, ringgit meningkat ke paras 4.1250/1365 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.1300/1345, semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) susut di bawah 100 mata kepada 99.809 ketika data terkini AS juga lebih rendah daripada  jangkaan awal manakala hasil Nota Perbendaharaan dua tahun dan 10 tahun AS susut tiga mata asas untuk ditutup masing-masing pada 3.43 peratus dan 4.01 peratus.

Mohd Afzanizam berkata jualan runcit AS pada September pula hanya meningkat 0.2 peratus bagi bulan ke bulan yag sebaliknya jauh lebih rendah berbanding unjuran konsensus pada 0.6 peratus.

“Lebih penting lagi, Keyakinan Pengguna Conference Board juga jatuh daripada jangkaan awal kepada 88.7 mata pada November berbanding jangkaan pasaran sebanyak 93.5 mata apabila isi rumah AS terbukti masih bimbangkan kos sara hidup susulan tarif import yang lebih tinggi," katanya.

Berikutan itu juga, ringgit dijangka terus mengukuh dalam julat 4.12 hingga 4.13 berbanding dolar AS susulan spekulasi penurunan kadar faedah AS bulan depan yang terus hangat diperkatakan.

Beliau berkata ringgit juga dijangka bergerak dalam julat 4.12 hingga 4.13 apabila lebih banyak andaian penurunan kadar faedah itu diketengahkan dan memacu sentimen.

Selain itu, sesi awal urus niaga pagi ini menyaksikan ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 2.6408/6485 daripada 2.6420/6451 namun susut berbanding euro kepada 4.7706/7839 daripada 4.7635/7687 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.4285/4436 daripada 5.4235/4294.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan meningkat berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit naik berbanding peso Filipina kepada 7.00/7.02 daripada 7.01/7.02, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1684/1775 dari 3.1708/1745, tinggi berbanding baht Thailand kepada 12.7717/8184 dari 12.7793/7999 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 247.6/248.4 dari 247.9/248.3.

-- BERNAMA