BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

PKS Perlu Manfaatkan Kekukuhan Perindustrian Negara Supaya Kekal Kompetitif Di Arena Global

KUALA LUMPUR, 1 DIs (Bernama) -- Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia perlu memanfaatkan kekukuhan serta pertumbuhan perindustrian negara untuk berkembang, berinovasi dan meneroka pasaran luar supaya kekal berdaya saing di arena global, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata keteguhan berterusan sektor perindustrian dan pembuatan Malaysia telah menjana prestasi perdagangan yang amat baik, dengan eksport bernilai RM1.3 trilion bagi tempoh dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Sejak Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dilancarkan, nilai tambah sektor pembuatan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia meningkat 13.5 peratus atau RM45.3 bilion untuk mencecah RM382 bilion pada 2024, katanya.

“Ini menunjukkan pertumbuhan berterusan disumbangkan oleh pelaburan lebih tinggi dan pengembangan perniagaan serta peningkatan eksport.

“Guna tenaga meningkat 8.5 peratus atau 222,000 kepada 2.84 juta pada 2024, menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan yang stabil dalam industri, termasuk daripada pelaburan baharu yang direalisasikan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia di sini, hari ini.

Tengku Zafrul berkata untuk memanfaatkan pertumbuhan itu, tahap kesediaan PKS kekal sebagai keutamaan.

Beliau berkata dalam usaha terus kekal berdaya saing di peringkat global, PKS mesti berkembang, berinovasi dan meneroka pasaran luar disokong oleh akses kepada modal, teknologi, bakat serta panduan yang boleh dipercayai.

“Kita mesti berevolusi untuk kekal berdaya saing. Sebagai contoh, misi NIMP 2030 untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar bukan sekadar sasaran malah juga ikrar untuk memastikan industri Malaysia kalis masa depan melalui automasi, penyepaduan digital, penggunaan data dan kemahiran tambahan bagi tenaga kerja,” katanya.

Tengku Zafrul juga menyuarakan penghargaan kepada kalangan penerima dan calon penerima anugerah di samping memuji peranan mereka dalam membentuk semula landskap pembuatan negara serta membuktikan Malaysia berupaya bersaing di peringkat global.

“Kita meraikan peneraju dalam penerimagunaan digital dan pemangkin digital iaitu penyedia teknologi tempatan dengan mengiktiraf kecemerlangan dalam kategori PKS Pintar, Syarikat Peringkat Pertengahan Pintar, Kecemerlangan Teknologi dan Kemasyarakatan.

“Paling penting, kita mengiktiraf kepimpinan, pembangunan keupayaan dan dimensi kemanusiaan dalam kemajuan industri,” katanya.

-- BERNAMA