BERITA TERKINI   Inflasi Malaysia meningkat 2.0 peratus pada Mei 2026 - DOSM | Lebihan dagangan meningkat kepada RM40.4 bilion pada Mei 2026, sekali gus mencatat lebihan selama 73 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 - DOSM | Eksport Malaysia tumbuh 45.3 peratus kepada RM184.0 bilion, import naik 14.1 peratus kepada RM143.6 bilion pada Mei 2026 - DOSM | Jumlah perdagangan Malaysia meningkat 29.8 peratus kepada RM327.6 bilion pada Mei 2026, didorong pertumbuhan eksport lebih kukuh - DOSM | DBKL peruntuk RM200 juta di bawah Program Lestari Niaga bangunkan semula 287 lokasi gerai penjaja di ibu negara - Hannah | 

BNM Rangka Pelan Kurangkan Pegangan Saham Dalam Paynet -- MOF

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) merangka pelan jangka panjang bagi mengurangkan pegangan sahamnya dalam Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) secara berperingkat. 

Kementerian Kewangan (MOF) berkata ini selaras dengan aspirasi BNM bagi meningkatkan daya saing pasaran serta memperkukuh kepimpinan industri dalam ekosistem pembayaran digital negara.

“Dalam melaksanakan pelan ini, BNM akan terus memastikan sistem pembayaran negara kekal stabil, berdaya tahan dan menyokong inovasi tanpa menjejaskan aspek keselamatan, kebolehpercayaan dan keberkesanan sistem sedia ada,” kata MOF.

MOF berkata demikian dalam jawapan bertulis pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Kementerian itu menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) yang bertanya tentang perancangan kerajaan untuk menyemak semula atau mengurangkan kadar pemilikan BNM dalam PayNet.

MOF juga berkata BNM merupakan pemegang saham utama PayNet sebanyak 35.5 peratus dan ia menetapkan mandat yang jelas kepada syarikat itu bagi menyediakan kemudahan pembayaran digital yang terangkum dan berdaya saing kepada rakyat serta peniaga.

Selain itu, kata kementerian berkenaan, PayNet juga perlu memastikan daya tahan dan keselamatan sistem pembayaran yang tinggi.

-- BERNAMA