BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Pertumbuhan KDNK Malaysia Dijangka Cecah 4.6 Peratus Pada 2026 - CGS International

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang 4.6 peratus pada 2026, dipacu oleh permintaan luar yang semakin pulih meskipun aktiviti domestik dijangka menjadi sederhana sedikit, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.

Dalam laporan terbaharunya, firma penyelidikan itu berkata permintaan luar berpotensi meningkat lagi susulan tempoh gencatan dagangan singkat antara Amerika Syarikat dan China, sekali gus mengurangkan gangguan rantaian bekalan dan menyokong pertumbuhan KDNK Malaysia.

Bagaimanapun,  CGS International berkata prospek positif tetapi sederhana bagi 2026 itu dibayangi beberapa risiko utama seperti tarif timbal balas Amerika Syarikat (AS).

“Tarif timbal balas oleh AS, selepas setahun dibincangkan, dijangka berkuat kuasa tahun depan sekali gus menimbulkan risiko kepada rantaian bekalan.

“Begitu juga dengan tarif sektoral AS yang dijangka diumumkan tidak lama lagi, yang boleh mengheret ekonomi global ke dalam satu lagi fasa kelembapan,” katanya.

Selain itu, ia berkata China masih berdepan momentum ekonomi yang perlahan, dengan pasaran hartanahnya yang lemah dan masih belum stabil.

“Risiko baharu muncul di pasaran kewangan, antaranya pelarasan harga saham teknologi dan pelarasan semula aktiviti pembelian mata wang yen oleh para pelabur yang berpotensi menjejaskan ekonomi sebenar.

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan risiko-risiko ini boleh mencetuskan gelombang ketidakstabilan serta tempoh kelemahan berpanjangan tahun depan,” kata CGS International.

Sementara itu, bagi Indonesia, firma terbabit menaikkan unjuran pertumbuhan 2026 kepada 5.1 peratus, disokong jangkaan pemulihan yang digerakkan oleh rangsangan proaktif kerajaan.

Bagi Singapura, CGS International berkata KDNK negara itu dijangka berkembang 2.8 peratus pada 2026, dipengaruhi pertumbuhan perlahan dalam kalangan rakan dagang utama.

Untuk Thailand, firma penyelidikan itu menjangkakan pertumbuhan sederhana sebanyak 1.9 peratus pada 2026, memandangkan pelaburan utama dijangka ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum pada separuh kedua tahun depan.

-- BERNAMA