BERITA TERKINI   Kelayakan Piala Asia 2027: Vietnam 3-1 Malaysia | Jabatan Peguam Negara akan ambil tindakan lanjut terhadap Bloomberg - KSN | Kerajaan nafi dakwaan Bloomberg bahawa PM minta jawatankuasa khas tangguh pendedahan siasatan pemilikan saham Azam Baki - KSN | Kerajaan kekalkan bantuan BUDI Diesel RM300 bagi April yang akan disalurkan mulai 8 April, manfaatkan 340,000 penerima dengan peruntukan RM102 juta - MoF | Kerajaan MADANI terus bertindak proaktif berlandaskan data dan realiti semasa supaya langkah diambil bersifat menyeluruh, berimbang dan berkesan dalam menghadapi krisis tenaga global - PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Pulih Selepas Dua Hari Penurunan Susulan Belian Harga Rendah

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives pulih selepas penurunan dua hari berturut-turut untuk ditutup lebih tinggi pada Jumaat disokong oleh pembelian pada harga rendah, menurut seorang penyelidik.

Katanya, hal ini susulan pemulihan positif dalam niaga hadapan olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD) di Dalian Commodity Exchange (DCE).

Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpusat di Mumbai Anilkumar Bagani berkata harga niaga hadapan komoditi berkenaan juga dipacu oleh jangkaan pemulihan pembelian minyak sawit India selepas beberapa penghantaran minyak kacang soya terhenti.

Bagaimanapun, katanya, risiko stok minyak sawit Malaysia yang lebih tinggi pada penghujung November, cukai eksport minyak sawit Indonesia yang lebih rendah pada Disember dan pengukuhan ringgit Malaysia mengehadkan kenaikan dalam niaga hadapan MSM yang dinyatakan dalam mata wang ringgit.

"Niaga hadapan olein sawit RBD DCE dilihat lebih tinggi sewaktu dagangan Asia hari ini berikutan jangkaan import yang rendah untuk tahun depan," kata Anilkumar kepada Bernama.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng turut menegaskan iaitu niaga hadapan MSM ditutup lebih tinggi akibat harga minyak soya yang lebih kukuh serta jangkaan pengeluaran di Malaysia semakin merosot.

"Kami melihat paras sokongan di atas RM4,050 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,200 setiap tan," katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Disember 2025 meningkat RM30 kepada RM4,095 setiap tan, kontrak Januari 2026 naik RM45 kepada RM4,135 setiap tan dan kontrak Februari 2026 bertambah RM47 kepada RM4,152 setiap tan.

Dalam pada itu, kontrak Mac 2026 melonjak RM49 kepada RM4,168 setiap tan, kontrak April 2026 berkembang RM48 kepada RM4,171 setiap tan dan kontrak Mei 2026 menokok RM46 kepada RM4,168 setiap tan.

Jumlah dagangan susut kepada 46,832 lot daripada 61,647 lot semalam manakala kepentingan terbuka turun sedikit kepada 262,698 kontrak daripada 268,825 kontrak sebelumnya.

Harga fizikal MSM untuk Disember Selatan berkembang RM50 kepada RM4,150 setiap tan.

-- BERNAMA