IOI Properties Lancar Taman Perindustrian Banting Dengan GDV RM1.8 Bilion
KUALA LANGAT, 8 Dis (Bernama) -- IOI Properties Group Bhd (IOIPG) hari ini telah melancarkan Taman Perindustrian IOI@Banting yang berkeluasan 130.31 hektar (322-ekar), mencerminkan kemajuan dalam memacu strategi segmen perindustriannya.
Ketua Pegawai Operasi untuk Pembangunan Hartanah (Malaysia) IOI Properties Group, Teh Chin Guan melalui satu kenyataan berkata pelancaran itu merupakan langkah utama dalam memenuhi lonjakan permintaan ke atas hartanah perindustrian hijau di seluruh negara ini.
"Taman Perindustrian IOI@Banting disasarkan akan menyumbang kira-kira RM1.8 bilion dalam Nilai Pembangunan Kasar (GDV) kepada segmen perindustrian kumpulan untuk tempoh lima tahun akan datang," kata Teh semasa pelancaran galeri jualan pelbagai guna IOI Galleria yang berkeluasan 12,000 kaki persegi hari ini.
Katanya, minat dalam pelaburan perindustrian yang mesra alam sedang meningkat dan taman perindustrian itu yang telah menerima pensijilan GreenRE pertamanya, dijangka siap dalam masa dua tahun, ia merangkumi 103 unit kilang pelbagai jenis dalam fasa satu. Ini termasuk kilang-kilang terpisah, berkembar dan kluster.
Syarikat itu akan mengutamakan industri yang berkaitan dengan pengangkutan udara memandangkan kedudukannya yang berdekatan dengan KLIA. Terdapat beberapa syarikat elektrik dan elektronik di sini, mungkin juga ada syarikat pembuatan seperti farmaseutikal, yang memerlukan pengangkutan udara.
"Kami menyediakan tenaga yang berlipat ganda melalui tiga baris pilon di tapak, dua baris berkapasiti 275kVa dan satu lagi sebanyak 33kva, Jadi kami amat sesuai untuk industri yang memerlukan permintaan tenaga yang tinggi seperti pusat data atau pembuatan," katanya.
Taman itu juga dilengkapi dengan lampu jalan bertenaga solar, bumbung solar yang boleh disesuaikan, kemudahan pengecasan EV, menggunakan bahan-bahan mesra alam termasuk pusat kutipan kitar semula.
Kemudahan ini membolehkan taman perindustrian itu memenuhi permintaan operasi yang moden dan akan datang, ia juga meminimumkan penggunaan tenaga serta air selain amat mengalakkan usaha kitar semula sisa, dengan itu mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.
"Disebalik pemuliharaan air dan tenaga, taman perindustrian tersebut dilengkapi kejuruteraan pengurusan air hujan yang berdaya tahan serta berkesan melalui penyediaan kolam tadahan air serta 'bioswale'," katanya.
"Bercakap mengenai pengurusan sisa, kami menyasarkan untuk mengitar semula atau mengambil semula 80 peratus bahan binaan tidak berbahaya. Dengan adanya pusat kitar semula yang berdedikasi dalam kemudahan pengkomposan serta projek berkenaan, kami akan menyumbang kepada persekitaran perindustrian yang lebih mesra alam," katanya lagi.
-- BERNAMA