BERITA TERKINI   Notis pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji sudah diserah kepada SPR - Speaker DUN Perlis | 

Niaga Hadapan Emas Ditutup Rendah Menjelang Mesyuarat FOMC

KUALA LUMPUR, 8 Dis (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih rendah hari ini apabila para peniaga mula mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) selama dua hari, yang bermula esok.

Kontrak bulan semerta Disember 2025 berkurangan kepada US$4,226.10 setiap auns troy daripada US$4,238.00 setiap auns troy yang dicatatkan semasa Jumaat lepas, Januari 2026 jatuh kepada US$4,241.60 setiap auns troy daripada US$4,253.60, Februari 2026 menurun kepada US$4,257.60 setiap auns troy daripada US$ 4,269.90 dan Mac 2026 menyusut kepada US$4,274.30 setiap troy auns berbanding US$4,286.60 sebelum ini.

Kontrak April dan Jun 2026 turut berada lebih rendah pada US$4,291.50 setiap auns troy daripada US$ 4,303.80 setiap auns troy.

Jumlah dagangan melemah kepada satu lot berbanding 16 lot yang disaksikan pada Jumaat sebelumnya, manakala kepentingan terbuka susut kepada 63 kontrak daripada 81 kontrak.

Berdasarkan penetapan tengah hari pada 5 Disember 2025 oleh London Bullion Market Association, emas fizikal dinilaikan pada US$4,221.50 setiap auns troy.

-- BERNAMA