BERITA TERKINI   Dua jemaah haji Malaysia yang dirawat di hospital di Madinah dan Mekah berada dalam keadaan stabil - TH | Sultan Selangor perkenan temasya SUKMA 2026 diteruskan secara berhemah - KBS | Krisis bekalan global: Malaysia perlu beralih kepada ekonomi produktiviti tinggi, perkukuh rantaian bekalan negara - TPM Ahmad Zahid | Kerajaan komited pastikan Malaysia kekal sebagai negara dengan ekosistem perniagaan yang efisien, telus dan responsif - TPM Ahmad Zahid | Ekonomi negara masih kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global, gangguan rantaian bekalan - TPM Ahmad Zahid | 

Anak Syarikat Southern Score Raih Subkontrak Pusat Data Bernilai RM87.8 Juta

KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Southern Score Builders Bhd mengumumkan anak syarikat milik 51 peratusnya, SJEE Engineering Sdn Bhd, hari ini menerima surat anugerah (LoA) daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja subkontrak bagi projek pusat data bernilai RM87.8 juta.

Syarikat itu dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia berkata kerja-kerja subkontrak berkenaan melibatkan pembekalan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan sistem elektrik dan voltan yang sangat rendah.

“Lembaga pengarah berpendapat projek ini merupakan urusan biasa perniagaan dan demi kepentingan terbaik untuk kumpulan,” katanya.

Southern Score Builders berkata LoA yang diterima oleh SJEE Engineering untuk melaksanakan projek itu tidak akan memberi sebarang kesan terhadap modal saham dan struktur pegangan saham syarikat dan tidak akan ada sebarang kesan serta-merta ke atas aset bersih sesaham serta tahap kadar hutang syarikat.

“Bagaimanapun, projek ini dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham syarikat serta kumpulannya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2026 dan seterusnya sehingga projek disiapkan,” tambahnya.

Tarikh permulaan projek itu pada 3 Disember, 2025 dan jangkaan siap adalah pada 7 Disember, 2026.

-- BERNAMA