Unit Petronas Gas Bayar US$173.64 Juta Bagi Khidmat Kemudahan Jeti Di Pengerang

KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Anak syarikat Petronas Gas Bhd (PGB), iaitu Pengerang LNG (Two) Sdn Bhd (PLNG2) memeterai perjanjian tambahan penggunaan jeti dengan Pengerang Terminals (Two) Sdn Bhd (PT2SB) bagi melaksanakan pembayaran terdahulu sekali sahaja bernilai US$173.64 million (RM706.28 million).

PT2SB adalah usaha sama antara PRPC Utilities and Facilities Sdn Bhd (PRPC UF), Dialog Equity (Two) Sdn Bhd, Vopak Terminal Pengerang BV dan Permodalan Darul Ta’zim Sdn Bhd, manakala PRPC UF merupakan anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata urus niaga pembayaran terdahulu akan diselesaikan mengikut perjanjian penggunaan jeti (JUA) bertarikh 28 Feb, 2017 bagi penyediaan perkhidmatan kemudahan jeti di Terminal Penggasan Semula Gas Asli Cecair (LNG) Pengerang, Johor.

“Perkhidmatan kemudahan jeti akan terus digunakan oleh PLNG2 hingga tamat tempoh kontrak dan bahagian operasi JUA juga tidak akan terjejas.

“Urus niaga pembayaran terdahulu akan mengurangkan pendedahan risiko mata wang asing kumpulan PGB bagi baki tempoh JUA,” katanya. 

-- BERNAMA