Johor Plantations Capai Penarafan Tiga Bintang FTSE Russel ESG, Perkukuh Kedudukan Pasaran
JOHOR BAHRU, 24 Dis (Bernama) -- Johor Plantations Group Bhd (JPG) menerima penarafan tiga bintang bagi faktor alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di bawah rangka kerja Penarafan FTSE Russell ESG sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian kumpulan tersebut.
JPG dalam satu kenyataan hari ini berkata penarafan ESG itu menyokong penyertaannya dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia pada 22 Dis, 2025 selepas pengumuman di Bursa Malaysia pada 11 Dis, 2025.
Syarikat ini juga tersenarai dalam Indeks FTSE Bursa Malaysia Shariah yang mencerminkan piawaian tadbir urus yang kukuh dan pematuhan terhadap operasi yang menepati prinsip syariah.
Selain itu, JPG turut menyertai beberapa indeks FTSE Bursa Malaysia termasuk Indeks Mid 70, Indeks Top 100, Indeks Ladang Kelapa Sawit dan Indeks Emas Shariah yang mempamerkan kehadiran pasaran yang kukuh.
Syarikat ini seterusnya mengukuhkan kedudukannya dalam aspek kelestarian global melalui penilaian Sustainability Policy Transparency Toolkit (SPOTT) 2025 dengan menduduki tempat keenam dan skor keseluruhan sebanyak 95.1 peratus, meningkat daripada tempat ke-14 pada 2024.
SPOTT menilai 100 pengeluar, pemproses dan peniaga minyak sawit di seluruh dunia berdasarkan pendedahan awam mengenai organisasi, polisi dan amalan ESG.
Sementara itu, kata syarikat tersebut, pembangunan utama JPG iaitu Kompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (iSPOC) di Sedili melepasi 60 peratus siap pada Disember 2025 dan kekal mengikut jadual untuk disiapkan pada separuh pertama 2026.
Menurut JPG, iSPOC akan menyokong strategi integrasi hiliran kumpulan selain mengukuhkan ketahanan operasi jangka panjangnya.
“Secara keseluruhan, pengiktirafan ESG, penyertaan dalam indeks dan pembangunan strategik ini menggariskan tumpuan berterusan JPG terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab dan penciptaan nilai jangka panjang ketika ia mengukuhkan kedudukannya sebagai kumpulan perniagaan pertanian bersepadu,” katanya.
-- BERNAMA