COP30: TNB Pengupaya Utama Pacu Kerjasama Tenaga Menerusi Grid Kuasa ASEAN
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) selaku antara utiliti utama dalam inisiatif Grid Kuasa ASEAN (APG), akan kekal sebagai pengupaya penting peralihan tenaga bersama perkumpulan itu dengan menjadikan kesalinghubungan rentas sempadan sebagai pemacu teras integrasi tenaga.
Ketika menegaskan perkara itu di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP30) baru-baru ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan menyifatkan projek integrasi tenaga Laos–Thailand–Malaysia–Singapura sebagai bukti kerjasama serantau yang berdaya maju serta memberi impak besar.
“Kerjasama yang praktikal, kesalinghubungan dipercayai serta inisiatif berskala seperti projek integrasi kuasa Laos–Thailand–Malaysia–Singapura itu membuktikan perdagangan tenaga pelbagai hala di ASEAN adalah berdaya maju serta dapat memberi impak,” katanya yang dipetik dalam hantaran media sosial terbaru TNB susulan penganjuran COP30.
Acara PBB yang juga sesi ke-30 Persidangan Pihak-Pihak Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), telah berlangsung di Belém, Brazil, pada bulan lepas.
Bidang baharu lain yang turut dibincangkan adalah potensi kesalinghubungan Vietnam–Malaysia–Singapura yang meninjau pembangunan tenaga boleh baharu (TBB) di Vietnam serta bekalan tenaga rentas sempadan ke Semenanjung Malaysia dan Singapura.
Inisiatif itu yang melibatkan perbincangan dalama kalangan pihak dan syarikat utiliti serta tenaga termasuk TNB, PETRONAS, Sembcorp and Petrovietnam, juga memaparkan usaha berterusan bagi menilai kebolehlaksanaan untuk mengembangkan perdagangan tenaga dalam menyokong APG.
Kedua-dua inisiatif itu menyokong visi luas APG bagi membolehkan perdagangan tenaga rentas sempadan serta perkongsian akses sumber TBB, sekali gus mengukuhkan keselamatan atau keterjaminan tenaga serantau selain mempercepatkan peralihan tenaga kolektif ASEAN.
Bersandarkan pengalaman berkenaan, Megat Jalaluddin menekankan kepentingan memulakan projek rintis, membina kepercayaan operasi serta memperkukuh rangka kerja kawal selia, teknikal dan komersial untuk menggerakkan rantau ini daripada peringkat perancangan kepada pelaksanaannya.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia juga terus memainkan peranan sebagai memudah cara dalam menghimpunkan kalangan utiliti, penggubal dasar dan rakan strategik untuk mempercepat kemajuan ke arah sistem tenaga serantau lebih selamat, berdaya tahan dan saling ketersambungan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh kesalinghubungan dan membina kepercayaan dalam kalangan rakan ASEAN adalah penting bagi memajukan kemajuan serantau secara kolektif.
Bagi kemajuan masa depan, Megat Jalaluddin berkata rantau ini perlu mengenal pasti langkah konkrit untuk pengharmonian prasarana grid, piawaian teknikal serta rangka kerja pengawalseliaan merentasi rantau ini bagi memudah cara aliran tenaga bersih.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan kepentingan usaha mengukuhkan lagi dialog antara kerajaan bagi menyelaras aspirasi dasar dengan tahap kesiapsiagaan teknologi, khususnya dalam bidang seperti grid pintar, pendigitalan dan sumber tenaga teragih.
Rantau ini juga, kata Megat Jalaluddin, perlu meneliti laluan yang praktikal bagi memperluas rangka kerja perkongsian sumber pelbagai hala, termasuk pengaktifan pasukan petugas APG peringkat serantau, kajian kebolehlaksanaan bagi koridor perdagangan pelbagai hala serta pertukaran pengetahuan menerusi Pusat Tenaga ASEAN.
Menyentuh keutamaan domestik, beliau menyifatkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) sebagai kerangka hala tuju Malaysia bagi menyokong peralihan kepada ekonomi rendah karbon dengan kesediaan dan fleksibiliti tenaga sebagai pengupaya utama.
NETR merupakan pelan strategik kerajaan yang dilancarkan pada 2023 bagi peralihan negara daripada bahan api fosil kepada ekonomi hijau menjelang 2050 dengan menumpukan TBB, kecekapan tenaga, hidrogen, biotenaga serta mobiliti hijau.
Seiring usaha itu juga, tiga matlamat utama TNB adalah meningkatkan penjanaan berasaskan grid, memastikan grid Malaysia fleksibel secukupnya bagi integrasi pelbagai jenis penjanaan tenaga serta memperkasakan pelanggan sebagai penerima manfaat utama peralihan ke arah sifar bersih, katanya.
“Menerusi semua usaha ini, kami optimis dapat mencapai sasaran kami menjelang 2050,” katanya.
Dalam pada itu, Pavilion Malaysia di COP30 yang bertemakan “Climate Action Now: Net Zero Pathway Unlocked,” memaparkan komitmen negara ini bagi melonjakkan tindakan iklim serta mengukuhkan kerjasama serantau.
TNB juga memainkan peranan dengan menyokong usaha Pavilion Malaysia dalam mengetengahkan perjalanan peralihan tenaga Malaysia, termasuk pemodenan grid, integrasi TBB serta kemajuan laluan saksama serta inklusif atau terangkum ke arah mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.
-- BERNAMA