BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Pelaksanaan e-Invois Dilanjutkan Setahun Lagi Bagi Syarikat Dengan Nilai Jualan Tahunan RM1-RM5 Juta

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan melanjutkan tempoh peralihan pelaksanaan invois elektronik (e-invois) tanpa penalti selama setahun lagi bagi syarikat dengan nilai jualan tahunan RM1 juta hingga RM5 juta, yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Januari, 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penangguhan pelaksanaan tersebut dibuat kerana sebahagian syarikat belum bersedia susulan kos pelaksanaan e-invois yang tinggi.

“Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh peralihan (pelaksanaan e-invois) tanpa penalti untuk satu tahun lagi kerana banyak mengatakan dia melibatkan kos yang terlalu tinggi, ” kata beliau ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu 2026 pada Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini. 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata selain itu kerajaan juga akan memperluaskan kemudahan e-Invois bersepadu kepada sektor peruncitan dan bahan binaan.

Sementara itu, kerajaan turut bersetuju melaksanakan program pengakuan sukarela bagi duti setem selama enam bulan bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2026.

Pelaksanaan e-invois bermula pada 1 Ogos 2024 dan kerajaan telahpun memulakan fasa keempat pelaksanaannya yang merupakan satu lagi usaha untuk memperkukuhkan pentadbiran cukai, selain meringankan beban pematuhan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

E-invois yang diperkenalkan sebagai platform digital bagi memperkemaskan urusan invois dan pematuhan cukai memerlukan perniagaan (pembayar cukai) menjana dan menghantar invois secara elektronik, bagi meningkatkan pelaporan dan kecekapan kutipan cukai sambil mengurangkan kebocoran. 

-- BERNAMA