Sunway Beli Tanah Di Selangor, Pulau Pinang Bernilai RM180 Juta
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Sunway Bhd membeli tiga bidang tanah di Selangor dan Pulau Pinang dengan nilai RM179.8 juta sebagai sebahagian daripada usaha untuk menambah semula simpanan tanah selain mengukuhkan perancangan projek masa depannya.
Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata pembelian tersebut melibatkan tapak di Puchong dan USJ 1 di Selangor serta George Town di Pulau Pinang dengan keluasan tanah sekitar 3.62 hektar selain anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM1 bilion.
"Pembelian ini seiring dengan strategi Sunway untuk mengembangkan jejaknya di pusat bandar yang tinggi permintaan selain menyediakan komuniti yang terhubung dengan baik serta mampan.
"Di Puchong, Selangor, Sunway, melalui anak syarikatnya Sunway Kiara Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan Glomac Al-Batha Sdn Bhd untuk membeli sebidang tanah berstatus pajakan seluas 2.74 hektar dengan nilai RM97.3 juta," katanya.
Kumpulan itu berkata tanah berkenaan yang mempunyai akses terus ke Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Shah Alam, dirancang untuk pembangunan bercampur dengan anggaran GDV sebanyak RM770 juta merangkumi pangsapuri perkhidmatan dan komponen runcit kejiranan.
Secara berasingan, Sunway melalui unit milik penuhnya Rich Worldclass Sdn Bhd membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 0.45 hektar di USJ 1 dengan nilai RM21 juta.
Kumpulan tersebut berkata sebidang tanah berkenaan bersebelahan dengan 0.81 hektar tanah pegangan bebas sedia ada di kawasan tersebut, membolehkannya untuk menyatukan kira-kira 1.26 hektar tanah berhampiran stesen Transit Bas Rapid (BRT) USJ 1.
"Penyatuan ini membolehkan Sunway merancang pembangunan berorientasikan transit yang komprehensif dan meningkatkan kualiti hidup, daya hubung serta nilai komuniti jangka panjang," katanya.
Di George Town, Pulau Pinang, Sunway melalui unitnya Sunway Bintang Sdn Bhd membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 0.42 hektar di sepanjang Jalan Pangkor dengan nilai RM61.45 juta.
Kumpulan itu berkata tapak berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari Gurney Bay mempunyai anggaran GDV sekitar RM274 juta selain menyasarkan untuk pembangunan bercampur yang merangkumi pangsapuri perkhidmatan dan komponen runcit.
Sementara itu, Pengarah Urusan Sunway Property Chung Soo Kiong berkata pembelian ini merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kumpulan untuk mengukuhkan kehadiran di koridor pertumbuhan utama sambil memperbaharui simpanan tanahnya.
"Puchong dan USJ 1 akan membolehkan kami memperkenalkan pembangunan bersepadu berorientasikan transit dalam kawasan bandar yang matang.
"Dalam pada itu, pengembangan ke George Town mengukuhkan keyakinan kami terhadap pertumbuhan berterusan Pulau Pinang sebagai hab serantau untuk pelaburan dan pelancongan," katanya.
Kumpulan tersebut berkata semua projek akan dipandu oleh rangka kerja pembangunan seni bina dan reka bentuk yang menggabungkan kelestarian, inovasi, kesihatan selain kesejahteraan serta pertimbangan gaya hidup.
"Sunway akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan tempatan dan pihak berkuasa perancangan.
"Ini bagi memastikan projek-projek tersebut memenuhi piawaian tertinggi dari segi kualiti, keselamatan dan tanggungjawab alam sekitar seiring dengan visi kumpulan untuk mewujudkan komuniti yang berkembang maju serta bersedia untuk masa depan," katanya.
-- BERNAMA