Kerajaan Bentang Hala Tuju Ekonomi Negara 2026 Di Forum Ekonomi Malaysia
KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan membentangkan fokus dan hala tuju ekonomi negara 2026 pada Forum Ekonomi Malaysia, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Akmal berkata persiapan Forum Ekonomi Malaysia akan diadakan pada awal Februari ini.
"Tahun ini kita akan mula merasai kesan Perang Tarif Amerika Syarikat yang menyebabkan ketidaktentuan ekonomi begitu juga dengan ketegangan geopolitik yang akan memberi impak kepada pertumbuhan ekonomi dunia.
"Menyusun keutamaan untuk kita menetapkan halatuju ekonomi bagi beberapa minggu pertama tahun 2026 ini adalah amat penting. Saya akan luangkan masa dan tumpukan perkara-perkara berikut," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, Kementerian Ekonomi telah menyusun 25 taklimat yang akan disusuli dengan perbincangan terperinci berkaitan dengan dasar dan pelaksanaan hala tuju negara.
Kerajaan juga akan berbincang dengan pelbagai pemegang taruh dan pihak yang mempunyai kepentingan strategik buat negara, katanya.
-- BERNAMA