BERITA TERKINI   KWAP umum pelantikan Datuk Jay Khairil Jeremy Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif berkuat kuasa 20 Mei 2026 |  Malaysia mahu OEM bekerjasama dengan vendor tempatan untuk meningkatkan seluruh rantaian nilai dan ekosistem melalui dasar EV baharu - Sim Tze Tzin  | 13 Ahli Dewan Negara termasuk enam lantikan baharu angkat sumpah sebagai senator hari ini | Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dan Datuk Norliza Tajudin mengaku tidak bersalah pecah amanah RM10.55 juta | Bekas PM Thailand Thaksin Shinawatra dibebaskan dari penjara secara parol pada pagi Isnin. | 

Prestasi Bayaran Balik Cukai 2025 Cecah RM22.5 Bilion Libatkan Lebih 3.7 Juta Kes - LHDN

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) hari ini memaklumkan bayaran balik cukai yang selesai diproses sepanjang 2025 berjumlah RM22.5 bilion melibatkan 3,713,025 kes.

Dalam satu kenyataan, LHDN berkata jumlah tersebut termasuk peruntukan tambahan bayaran balik berjumlah RM3.5 bilion yang diterima oleh LHDN pada 25 hingga 31 Dis, 2025.

“Dana tambahan RM3.5 bilion yang diperuntukkan telah selesai diproses untuk dikreditkan kepada pembayar cukai yang mempunyai amaun bayaran balik yang berusia satu ke dua tahun dengan tumpuan diberikan kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” kata kenyataan itu.

Susulan Amanat Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, LHDN komited untuk menyelesaikan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2023 pada suku pertama 2026 dan bayaran balik cukai yang berbangkit dalam Tahun Taksiran 2024 pada hujung 2026.

LHDN juga menasihatkan pembayar cukai supaya mengemas kini dan memastikan maklumat akaun bank yang dilaporkan kepada LHDN adalah tepat dan terkini bagi membolehkan proses bayaran balik dilaksanakan dengan lebih lancar.

“Ini kerana terdapat sebahagian bayaran balik tidak dapat diproses atas sebab kesilapan atau ketiadaan maklumat akaun bank yang betul,” katanya.

Selain itu, LHDN berkata tiada bayaran balik dapat diproses kerana melibatkan pertikaian kes mahkamah, pembayar cukai mempunyai tunggakan bagi tahun taksiran lain dan syarikat yang layak menerima bayaran telah digulung atau dibubarkan.

“LHDN akan terus memastikan bayaran balik diselesaikan secara teratur dan berperingkat mengikut keutamaan jumlah bayaran balik dan keutamaan turut diberikan kepada amaun tertunggak yang melibatkan PKS,” katanya.

-- BERNAMA