BERITA TERKINI   Menetapkan piawaian, kuatkuasakan akauntabiliti dan menjaga kepercayaan awam dalam bidang digital menjadi tanggungjawab utama kerajaan - PM Anwar | Penting bagi Malaysia dan Turki untuk bekerjasama lebih erat memandangkan kegagalan negara maju mematuhi orde antarabangsa berasaskan peraturan - PM Anwar | Penting bagi ekonomi membangun untuk merealisasikan masa depan mereka dengan tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China - PM Anwar | Tatanan antarabangsa tidak hanya bergantung kepada kuasa, sebaliknya rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang dan norma antarabangsa - PM | Minat Malaysia memperdalam hubungan dengan Turkiye, dipandu kepentingan nasional bersama, manyasarkan autonomi strategik, kestabilan dan pertumbuhan - PM Anwar | 

Bursa Malaysia Kemas Kini Yuran Baharu SC Berkuat Kuasa 1 Jan, 2026

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) --  Bursa Malaysia Bhd hari ini mengumumkan kemas kini yuran baharu yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Dalam satu makluman kepada bursa, syarikat itu berkata kemas kini berkenaan susulan berkuat kuasanya Peraturan-Peraturan Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Yuran) 2025 [P.U. (A) 475/2025] dan Perintah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Kadar Levi bagi Pembelian atau Penjualan Sekuriti dan Derivatif) 2025 [P.U. (A) 474/2025], yang masing-masing berkuat kuasa mulai 1 Jan, 2026.

Pengumuman itu dibuat berikutan surat yang diterima Bursa Malaysia daripada SC pada 5 Jan, 2026, memaklumkan bahawa yuran SC yang terpakai ke atas syarikat itu.

Menurut Peraturan Yuran berkenaan, Bursa Malaysia berkata yuran kawal selia tetap tahunan baharu yang dikenakan ke atas bursa adalah sebanyak RM28 juta.

 Di bawah Perintah Levi, kadar levi yang terpakai bagi pembelian atau penjualan kontrak derivatif yang dilaksanakan di Bursa Malaysia Derivatives Bhd termasuk levi sebanyak 37.5 peratus daripada yuran penjelasan, seperti yang ditetapkan oleh bursa derivatif, yang perlu dibayar oleh pembeli atau penjual bagi urus niaga derivatif yang dilaksanakan di bursa tersebut.

Ia turut merangkumi levi sebanyak 37.5 peratus daripada yuran dagangan, seperti yang ditetapkan oleh bursa derivatif dan perlu dibayar oleh pembeli atau penjual bagi pembelian atau penjualan kontrak derivatif di bursa derivatif.

“Bagaimanapun, tiada kesan ke atas peserta pasaran di Bursa Derivatives, memandangkan yuran dagangan dan yuran penjelasan yang perlu dibayar oleh pembeli dan penjual kontrak derivatif kekal tidak berubah seperti yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia ketika ini.

“Bursa Malaysia akan menyalurkan levi derivatif kepada SC daripada jumlah yang dikutip melalui yuran dagangan dan yuran penjelasan kontrak derivatif bagi tempoh tiga tahun sehingga 2028,” katanya.

Turut dikemaskini, melibatkan yuran tambahan yang terpakai ke atas pengendali pasaran diiktiraf di bawah Kumpulan Bursa, selaras dengan Peraturan Yuran, termasuk yuran tahunan sebanyak 0.3 peratus daripada hasil kasar yang diperoleh daripada pengendalian setiap platform terkawal, atau RM20,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Yuran tersebut terpakai kepada Bursa Malaysia RAM Capital Sdn Bhd (BR Capital) dan Bursa Malaysia Bonds Sdn Bhd, selain yuran dagangan sebanyak 0.0075 peratus daripada jumlah keseluruhan transaksi jual beli sekuriti di pasaran diiktiraf, yang terpakai kepada BR Capital.

Seperti yang diumumkan sebelum ini pada 17 Okt 2025, jumlah keseluruhan yuran SC yang perlu dibayar oleh Bursa Malaysia kepada SC akan dihadkan kepada RM35 juta pada 2026, RM40 juta pada 2027 dan RM45 juta pada 2028, seperti yang disahkan dalam surat SC bertarikh 5 Jan, 2026.

Had yuran SC yang perlu dibayar oleh Bursa Malaysia itu turut merangkumi had levi derivatif yang perlu dibayar oleh bursa sebanyak RM7 juta pada 2026, RM12 juta pada 2027 dan RM17 juta pada 2028.

Bursa Malaysia berkata ia akan terus berusaha mengurus kos, termasuk mendapatkan pembiayaan bagi cadangan pembangunan pasaran yang berkaitan daripada Dana Pembangunan Pasaran Modal, bagi mengurangkan kesan penuh pelaksanaan yuran SC tersebut.

-- BERNAMA