BERITA TERKINI   Menetapkan piawaian, kuatkuasakan akauntabiliti dan menjaga kepercayaan awam dalam bidang digital menjadi tanggungjawab utama kerajaan - PM Anwar | Penting bagi Malaysia dan Turki untuk bekerjasama lebih erat memandangkan kegagalan negara maju mematuhi orde antarabangsa berasaskan peraturan - PM Anwar | Penting bagi ekonomi membangun untuk merealisasikan masa depan mereka dengan tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China - PM Anwar | Tatanan antarabangsa tidak hanya bergantung kepada kuasa, sebaliknya rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang dan norma antarabangsa - PM | Minat Malaysia memperdalam hubungan dengan Turkiye, dipandu kepentingan nasional bersama, manyasarkan autonomi strategik, kestabilan dan pertumbuhan - PM Anwar | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS Susulan Permintaan Terhadap Mata Wang Selamat Berkurangan

Oleh Zufazlin Baharuddin dan K.Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa susulan pelabur sedang menilai situasi antara AS dan Vanezuela, pemintaan terhadap dolar AS tidak bertahan lama berikutan risiko geopolitik semasa yang masih dalam kawalan.

Pada 8 pagi ini, ringgit melonjak kepada 4.0650/0745 berbanding dolar AS daripada 4.0695/0745 ketika ditutup pada Isnin.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata ketika sentimen risiko stabil, aliran modal kembali beralih kepada mata wang pasaran baharu muncul dan aset dengan hasil yang lebih tinggi.

“Semalaman, dolar AS pada mulanya disokong oleh situasi geopolitik semasa dan isyarat bank pusat global tetapi momentum itu merosot. Indeks dolar AS jatuh 0.17 peratus kepada 98.26 pada sesi lewat dagangan, menyebabkan ia hanya meningkat sedikit setakat ini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata keuntungan ringgit diperkukuh oleh peningkatan semula dalam Indeks Dolar Asia, mencerminkan minat pelabur kembali terhadap mata wang pasaran baharu muncul apabila toleransi risiko bertambah baik.

Walaupun terdapat peningkatan awal berbanding dolar AS, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Mata wang tempatan turun berbanding yen Jepun kepada  2.5958/6020 daripada 2.5932/5965 ketika ditutup pada Isnin, merosot berbanding pound Britain kepada 5.5012/5140 daripada 5.4706/4774 dan berkurangan berbanding euro kepada 4.7626/7737 daripada 4.7540/7598 sebelum itu.

Dalam pada itu, mata wang tempatan kebanyakannya didagangkan tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 242.8/243.5 daripada 243.0/243.5, menokok berbanding baht Thailand kepada 12.9773/13.0167 daripada 12.9891/13.0109, naik berbanding peso Filipina kepada 6.87/6.90 daripada 6.88/6.90 sebelum itu.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.1686/1763 daripada 3.1603/1644 sebelumnya.

-- BERNAMA