BERITA TERKINI   Menetapkan piawaian, kuatkuasakan akauntabiliti dan menjaga kepercayaan awam dalam bidang digital menjadi tanggungjawab utama kerajaan - PM Anwar | Penting bagi Malaysia dan Turki untuk bekerjasama lebih erat memandangkan kegagalan negara maju mematuhi orde antarabangsa berasaskan peraturan - PM Anwar | Penting bagi ekonomi membangun untuk merealisasikan masa depan mereka dengan tidak semestinya terikat kepada telunjuk kuasa besar seperti Amerika Syarikat atau China - PM Anwar | Tatanan antarabangsa tidak hanya bergantung kepada kuasa, sebaliknya rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang dan norma antarabangsa - PM | Minat Malaysia memperdalam hubungan dengan Turkiye, dipandu kepentingan nasional bersama, manyasarkan autonomi strategik, kestabilan dan pertumbuhan - PM Anwar | 

Pelarasan Gaji SSPA Fasa 2 Tingkat Ekonomi Runcit -- Pakar Ekonomi

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Fasa kedua pelarasan gaji Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) untuk penjawat awam dijangka memberi kesan positif yang kuat kepada ekonomi runcit, menurut seorang pakar ekonomi.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi Negara IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata pelarasan itu dijangka melonjakkan penggunaan isi rumah dengan menambah pendapatan boleh guna sebenar dan bukan mewujudkan kejutan permintaan yang meluas.

"Ia meningkatkan pendapatan boleh guna sebenar iaitu baki gaji selepas cukai, pembayaran hutang dan keperluan asas. Itulah pembolehubah utama yang akan memacu perbelanjaan sebenar," katanya kepada Bernama.

Kenaikan gaji adalah pembolehubah bebas, manakala kadar faedah, inflasi dan keselamatan pekerjaan bertindak sebagai pembolehubah kawalan, dengan penggunaan isi rumah menjadi pembolehubah bersandar.

Beliau berkata kenaikan gaji akan memacu aliran tunai isi rumah manakala kekuatan ringgit mengekalkan harga import yang lebih murah serta menahan tekanan inflasi global, mengukuhkan kuasa beli sebenar.

“Inilah yang benar-benar diperlukan Malaysia pada 2026: peningkatan permintaan yang nyata, bukan didorong oleh hutang dan harga,” katanya.

Sambil menyerlahkan kekuatan ringgit pada 2025 sebagai faktor penstabilan utama, Mohd Sedek berkata ianya telah mengurangkan kos bagi makanan import, elektronik, farmaseutikal serta barangan isi rumah.

"Oleh itu, peruncit mampu mengekalkan kestabilan harga sambil menjual lebih banyak unit; gabungan ini telah menaikkan pendapatan tanpa menghakis kuasa beli, itulah sebabnya kenaikan gaji ini tidak merangsang inflasi," katanya.

Dari perspektif makroekonomi, pelarasan gaji ini adalah amat bermakna jika dilihat di mana ia disuntik dalam ekonomi memandangkan penjawat awam membentuk pangkalan pengguna yang besar, tersebar secara geografi dan stabil daripada segi kewangan.

"Dalam konteks tersebut, peningkatan pendapatan mempunyai kecekapan penghantaran yang tinggi ke dalam ekonomi sebenar. Penjawat awam mempunyai kecenderungan penggunaan yang lebih banyak, bermakna setiap ringgit pendapatan, akan menjana jumlah aktiviti yang meluas dalam peruncitan, perkhidmatan dan perniagaan," katanya.

Beliau berkata pelarasan gaji ini mewakili dorongan yang berkualiti tinggi, berganda dan bukannya rangsangan jangka pendek.

“Apabila penjawat awam menerima kenaikan gaji yang lebih baik, perbelanjaan pada peringkat awal akan mengalir ke dalam pasar raya, restoran, farmasi, pengangkutan, penjagaan anak, perjalanan domestik dan runcit dalam talian.

“Perbelanjaan ini kemudiannya beredar di kalangan pembekal, firma logistik, tuan tanah dan pekerja, ia mewujudkan kesan berganda yang mana satu ringgit pendapatan menjana lebih daripada satu ringgit aktiviti ekonomi,” katanya.

Mohd Sedek menjelaskan di pihak kerajaan, pengganda yang sama berfungsi secara terbalik sebagai penstabil fiskal kerana perbelanjaan yang lebih tinggi akan meningkatkan cukai tidak langsung, keuntungan korporat dan penerimaan cukai pendapatan merentasi rantaian nilai.

“Pada masa yang sama, ringgit yang lebih mantap akan mengurangkan subsidi dan ketirisan fiskal berkaitan import, membolehkan kenaikan gaji mengukuhkan pertumbuhan tanpa menjejaskan belanjawan," katanya.

Penjawat awam di bawah SSPA akan menerima pelarasan gaji Fasa 2 dalam pembayaran gaji Januari, dikira berdasarkan gaji akhir mereka pada 31 Dis.

Pelarasan ini meneruskan kenaikan gaji SSPA yang diumumkan pada 2024, yang melibatkan lonjakan 15 peratus bagi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional serta tujuh peratus untuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

-- BERNAMA