BERITA TERKINI   Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir di Beaufort ditutup 4 petang ini - JPBN | Inisiden letupan kompresor di sebuah universiti swasta, mangsa terlibat meningkat 10 orang termasuk seorang maut- Ketua Polis KL | Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara - Ketua Polis KL | Rapid Bus akan terima 250 bas elektrik termasuk 75 Rapid Penang dijangka tiba Mac ini - Loke | Bomba sahkan letupan akibat kebocoran gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, dua kakitangan cedera. | 

Pengiklanan Digital Pacu Pertumbuhan Adex Malaysia Susulan Penurunan Media Tradisional

KUALA LUMPUR,6 Jan (Bernama) -- Pertumbuhan dalam perbelanjaan pengiklanan (adex) di Malaysia hampir keseluruhannya terus didorong oleh platform digital, manakala segmen media tradisional terus merosot, kata Kenanga Research. 

Dalam satu nota hari ini, katanya, saluran digital terus menarik perhatian pengiklan di Malaysia, berikutan pengukuhan dalam penglibatan media sosial dan peningkatan pilihan bagi pembelian iklan yang programatik serta dipacu data merentasi platform enjin carian. 

“Hasilnya, media legasi terus melepaskan bahagian pasaran, iaitu satu aliran yang kami jangka tidak akan berubah dalam masa terdekat,” katanya. 

Firma penyelidikan itu berkata walaupun Magna Global iaitu syarikat pelaburan dan perisikan media antarabangsa menjangkakan jumlah adex Malaysia berkembang sebanyak 6.4 peratus tahun ke tahun pada 2025, pertumbuhan itu tertumpu sepenuhnya dalam format digital, khususnya media sosial dan carian. 

“Penurunan berterusan dalam televisyen, media cetak dan radio bermakna pertumbuhan industri utama tidak diterjemahkan kepada pemulihan bagi pemain media tradisional,” katanya. 

Kenanga Research menyatakan bahawa pengiklanan digital menyumbang kira-kira 77 peratus daripada jumlah adex Malaysia pada 2024, didahului oleh media sosial (41 peratus), enjin carian (24 peratus) dan saluran digital lain (12 peratus), yang menunjukkan perubahan penting dalam tingkah laku pengiklan. 

“Unjuran Magna Global bahawa jumlah adex bahagian media digital akan meningkat kepada 85 peratus menjelang 2029, dan bahagian televisyen mengecil kepada lima peratus,” katanya, sambil menambah bahawa ia mencerminkan capaian, penglibatan dan ketepatan media digital yang unggul. 

Selain itu, Kenangan Research berkata alatan programatik yang dipacu kecerdasan buatan dan analitik masa nyata meningkatkan lagi pengoptimuman kempen dan pulangan pelaburan, sekali gus mengukuhkan kelebihan struktur media digital berbanding media tradisional yang luas tetapi sebahagian besarnya pasif. 

Menurut firma penyelidikan itu, media legasi masih tidak dapat menembusi pengiklanan digital, dengan pengendali media tradisional di Malaysia terus mempunyai jejak yang agak kecil dalam ruang adex digital. 

Sehubungan itu, ia mengulangi penarafan ‘kurang wajar’ terhadap sektor media, dengan memetik persaingan yang semakin sengit daripada pemain digital dan sekatan kos berterusan daripada infrastruktur legasi. 

-- BERNAMA