BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah Berikutan Peningkatan Paras Stok

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Selasa berikutan kebimbangan terhadap paras stok yang lebih tinggi dalam negara dan harga minyak kacang soya yang lebih lemah di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT).

Peniaga minyak sawit daripada Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata paras stok yang lebih tinggi dalam negara disebabkan terutamanya oleh permintaan bermusim yang lemah dan harga minyak sayuran yang kurang berdaya saing.

“Paras stok Malaysia pada masa ini dijangka mencecah tiga juta tan, lebih tinggi daripada purata sejarah yang mencerminkan keadaan peningkatan stok yang tinggi di negara ini.

“Kami mendapati paras sokongan melebihi RM3,950 setan dan paras rintangan pada RM4,100 setan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, kontrak Januari 2026 dan Februari 2026 masing-masing susut RM22 kepada RM3,928 setan dan RM3,973 setan.

Kontrak Mac 2026 merosot RM24 kepada RM3,990 setan, April 2026 susut RM28 kepada RM4,000 setan, Mei 2026 turun RM31 kepada RM4,001 setan, manakala Jun 2026 berkurangan RM37 kepada RM3,991 setan.

Jumlah dagangan meningkat kepada 63,848 lot berbanding 40,027 lot pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menurun kepada 257,198 kontrak daripada 259,729 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal untuk Januari Selatan turun RM20 kepada RM3,980 setan.

-- BERNAMA