MARC Ratings Unjur Ekonomi Malaysia Tumbuh 4.3 Peratus Pada 2026
KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Ekonomi Malaysia diunjurkan berkembang sebanyak 4.3 peratus pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang berterusan dan aktiviti pelaburan yang mampan, selain didorong oleh permintaan kukuh bagi produk elektrik dan elektronik serta infrastruktur pusat data.
Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC) dalam satu kenyataan berkata prospek itu disokong oleh tahap inflasi yang sederhana, yang diunjurkan oleh MARC Ratings pada 1.6 peratus pada 2026, di samping pertumbuhan pendapatan yang stabil.
Secara luaran, ia menyatakan bahawa prestasi eksport Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada aliran perdagangan serantau yang lebih kukuh berikutan perkembangan perdagangan yang lebih baik selepas Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47.
“Walaupun tinjauan keseluruhan telah menjadi lebih baik, pertemuan akan datang antara Trump-Xi pada separuh pertama 2026, bersama-sama dengan dinamik geopolitik, akan membentuk trajektori dasar perdagangan.
“Perlu diingatkan bahawa perkembangan geopolitik baru-baru ini di Amerika Latin tidak mungkin menjejaskan prospek perdagangan Malaysia secara material.
“Sebagai pengimport minyak mentah bersih, Malaysia dijangka menerima manfaat daripada harga minyak yang lebih rendah disebabkan oleh peningkatan bekalan,” katanya.
Mengenai pasaran mata wang, MARC Ratings menjangkakan ringgit akan meningkat kepada sekitar 3.93 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang pertengahan 2026, disokong oleh aliran masuk portfolio asing yang stabil, tahap inflasi yang rendah, dan sentimen luaran yang lebih kukuh yang dijangka akan meningkatkan lebihan perdagangan.
Menjelang akhir 2025, ringgit meningkat 10.1 peratus berbanding dolar AS, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai mata wang yang mempunyai prestasi terbaik di Asia.
“MARC Ratings berpendapat asas domestik yang berdaya tahan dan penyatuan fiskal yang berterusan, dengan defisit fiskal yang diunjurkan pada 3.5 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2026 (2025F : 3.8 peratus), akan menyokong penetapan hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (SKM) 10 tahun pada sekitar 3.35 peratus - 3.40 peratus pada 2026,” tambahnya.
Menurut MARC Ratings, walaupun pertumbuhan global dijangka sederhana pada 2026, di tengah-tengah kekangan struktur dan ketidakpastian geopolitik yang berterusan, prospek ekonomi Malaysia kekal agak berdaya tahan.
Permintaan domestik yang stabil, pelaburan berterusan yang dikaitkan dengan kitaran peningkatan kecerdasan buatan (AI), inflasi yang rendah, pembaharuan institusi dan penyatuan fiskal yang berterusan dijangka akan menyokong kestabilan ekonomi - faktor-faktor ini akan menyokong ringgit dan menjadi peneraju hasil bon domestik.
“Bagaimanapun, risiko luaran yang perlu dipantau pada 2026 ialah keputusan Jepun untuk keluar daripada kadar faedah yang sangat rendah, yang menimbulkan prospek pelonggaran separa dagangan yen yang telah lama wujud - penempatan semula itu boleh menyuntik turun naik ke dalam pasaran baharu muncul, terutamanya yang mempunyai penyertaan asing yang besar,” katanya.
-- BERNAMA