BERITA TERKINI   Untung bersih Allianz naik kepada RM958.78 juta pada TK2025 daripada RM770.74 juta pada TK2024 | Untung bersih SP Setia Bhd merosot kepada RM509.96 juta pada TK2025 daripada RM575.95 juta pada TK2024 | Petronas jangka purata harga minyak mentah Brent antara US$65-US$70 setong dalam tempoh lima tahun akan datang - Presiden dan CEO Kumpulan Petronas | Siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh, profesional dan bebas daripada sebarang campur tangan- Jabatan Peguam Negara | Petronas menyasar untuk mengembangkan perniagaan huluan di peringkat antarabangsa sebanyak 60 peratus dalam tempoh 10 tahun akan datang - Ketua Pegawai Operasi  | 

MBSB Investment Unjur Minyak Mentah Brent Antara US$55 Dengan US$60 Setong Pada 2026

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- MBSB Investment Bank Bhd menjangkakan harga minyak mentah kekal rendah berikutan lebihan bekalan yang tinggi dan semakin meningkat sekali gus sukar diserap sepenuhnya oleh permintaan.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu mengunjurkan harga minyak mentah Brent berada antara US$55 dengan US$60 setong pada 2026.

“Jika Amerika Syarikat (AS) berjaya memasarkan 50 juta tong minyak Venezuela dalam masa terdekat, langkah itu berpotensi memberi tekanan yang ketara ke atas harga minyak mentah, mendorong harga menjadi lebih rendah daripada unjuran.

“Bagaimanapun, unjuran tersebut kekal tidak berubah, kerana langkah itu akan mengambil masa sekurang‑kurangnya dua tahun untuk Venezuela meningkatkan kapasiti pengeluarannya daripada 0.8 juta tong sehari (mbpd) kepada 1.5 mbpd,” jelasnya.

Menurut bank pelaburan itu, bekalan minyak global dijangka meningkat antara 1.2 hingga 2.4 mbpd pada 2026, tidak termasuk kemungkinan impak daripada bekalan tambahan minyak Venezuela.

Keadaan itu didorong terutama oleh pengeluar bukan anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) seperti AS, Brazil, Kanada dan Guyana, yang dijangka menambah bekalan global dengan lebih 1.2 mbpd secara terkumpul, menurutnya.

Sementara itu, OPEC+ yang diterajui oleh Arab Saudi dan Rusia telah memutuskan untuk mengekalkan tahap pengeluaran pada suku pertama 2026 susulan krisis yang sedang berlaku di Venezuela dan ketegangan antara Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.

“Kumpulan ini juga mengesahkan komitmen yang dibuat pada akhir November untuk menghentikan sementara peningkatan pengeluaran pada Januari, Februari dan Mac 2026 kerana faktor bermusim.

“Bagaimanapun, kemungkinan OPEC+ menaikkan pengeluaran sehingga 1.2 mbpd pada 2026 untuk mengekalkan penguasaannya ke atas pasaran tidak boleh diketepikan,” menurut MBSB Investment Bank.

Sebaliknya, bank pelaburan itu juga memaklumkan permintaan minyak global dijangka hanya meningkat sebanyak 0.7 mbpd tahun ini disebabkan ekonomi global yang lemah, terutama di negara pengguna minyak utama seperti China dan India.

Di peringkat domestik, MBSB Investment Bank mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor ini berikutan unjuran harga minyak mentah yang rendah pada 2026.

“Kami menjangkakan potensi kenaikan adalah terhad kerana unjuran lebihan minyak mentah yang dijangka menyebabkan harga dagangan lebih rendah sekali gus menjejaskan operasi huluan dan hiliran,” tambahnya.

Bank pelaburan itu juga menjelaskan harga saham penggiat huluan juga susut ekoran ketidaktentuan dan perubahan struktur seperti peralihan kepada tenaga bersih, lebihan minyak mentah, serta isu Petronas-Petros.

-- BERNAMA