BERITA TERKINI   Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir di Beaufort ditutup 4 petang ini - JPBN | Inisiden letupan kompresor di sebuah universiti swasta, mangsa terlibat meningkat 10 orang termasuk seorang maut- Ketua Polis KL | Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara - Ketua Polis KL | Rapid Bus akan terima 250 bas elektrik termasuk 75 Rapid Penang dijangka tiba Mac ini - Loke | Bomba sahkan letupan akibat kebocoran gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, dua kakitangan cedera. | 

Bursa Malaysia Meningkat Sebelum Akhiri Sesi Pagi, Indeks Utama Naik 0.44 Peratus

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan prestasi tinggi pada Isnin, apabila indeks utama meningkat 0.44 peratus susulan sokongan belian terhadap kaunter perbankan dan perladangan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 7.36 mata kepada 1,693.90 daripada 1,686.54 ketika ditutup ada Jumaat lepas.

Indeks itu dibuka 0.53 mata lebih tinggi kepada 1,687.07 sebelum bergerak antara 1,686.57 dengan 1,696.21 sepanjang sesi dagangan.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 546 berbanding 409, manakala 525 kaunter tidak berubah, 1,170 kaunter tidak diniagakan dan 55 yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.89 bilion unit bernilai RM1.08 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd menjelaskan FBM KLCI dijangka meneruskan peningkatan semula minggu ini, namun momentum kenaikan mungkin diuji oleh rintangan kukuh sekitar paras 1,700 hingga 1,720.

“Tumpuan pelabur akan tertumpu kepada jangkaan awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 Malaysia pada 15 Jan, 2026 (konsensus: meningkat 4.6 peratus tahun ke tahun), peningkatan risiko geopolitik, keputusan Mahkamah Agung AS berkenaan dengan tarif serta permulaan musim pelaporan pendapatan korporat suku keempat 2025 di AS.

“Bagaimanapun, asas ekonomi Malaysia kekal menyokong, didorong  oleh pertumbuhan KDNK yang kukuh (2025/26: 4.8 peratus/4.5 peratus), penilaian menarik, ringgit yang lebih kukuh (naik 8.9 peratus berbanding akhir 2024) serta pertumbuhan pendapatan teras sebanyak 7.6 peratus pada tahun kalendar 2026,” tambahnya dalam nota penyelidikan hari ini.

Antara saham kewangan wajaran tinggi, Maybank meningkat 10 sen kepada RM10.96, CIMB naik lima sen kepada RM8.20, Hong Leong Bank melonjak 22 sen kepada RM23.28, dan RHB meningkat tiga sen kepada RM7.88.

Public Bank tidak berubah pada RM4.58, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM13.58, dan IHH Healthcare menokok lima sen kepada RM8.58.

Bagi saham paling aktif, Ingenieur menambah 1.5 sen kepada 4.5 sen dan Pharmaniaga naik setengah sen kepada 29 sen, manakala MMAG, Zetrix AI dan Dagang Nexchange masing-masing tidak berubah pada 6.5 sen, 83 sen dan 35 sen serta Tanco susut empat sen kepada RM1.19.

Saham paling untung, United Plantations melonjak 98 sen kepada RM34.30, Fraser & Neave meningkat 60 sen kepada RM36.60, IGB naik 24 sen kepada RM3.69, Hong Leong Financial Group menambah 18 sen kepada RM19.92, dan UMS Integration menokok 17 sen kepada RM3.90.

Antara kaunter paling rugi, Nestle merosot RM1.10 kepada RM119.90, Malaysian Pacific Industries dan Far East Holding masing-masing susut 30 sen kepada RM33.00 dan RM4.10, Vitrox turun 12 sen kepada RM4.57, dan Genting kurang lima sen kepada RM2.91.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 54.84 mata kepada 12,519.35, Indeks FBM Top 100 naik 55.74 mata kepada 12,307.99, dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 51.91 mata kepada 12,299.82.

Indeks FBM Mid 70 melonjak 89.67 mata kepada 17,538.91, manakala Indeks FBM ACE turun 16.49 mata kepada 4,985.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 121.92 mata kepada 20,164.87, Indeks Tenaga menokok 6.36 mata kepada 787.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.32 mata kepada 173.01, dan Indeks Perladangan menambah 111.11 mata kepada 8,601.69.

-- BERNAMA