BERITA TERKINI   PM Anwar tiba di Ashgabat pada 8 malam (11 malam waktu Malaysia) untuk lawatan rasmi dua hari ke Turkmenistan | Kerajaan Persekutuan luluskan penubuhan Majlis Tahfiz Negara - TPM Ahmad Zahid | PRN Johor: Chu Poh Yee calon DAP bagi kerusi DUN Mengkibol menggantikan penyandang Chew Chong Sin - Loke | Bekalan minyak: draf perjanjian dan prinsip kerjasama telah dipersetujui, hanya menunggu proses pemuktamadan & pemeteraian selepas lawatan teknikal terperinci - PM Anwar | Rusia beri jaminan bekalan minyak dan gas kepada Malaysia untuk jangka masa panjang - PM Anwar | 

Pensijilan MSPO Bantu Malaysia Penuhi Keperluan Kelestarian Dalam FTA -- MPOB

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) membantu negara memenuhi keperluan kelestarian yang semakin dimasukkan ke dalam perjanjian perdagangan bebas (FTA), menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ketua Unit Pembangunan Perdagangan MPOB Nazlin Ismail berkata tahun-tahun kebelakangan ini, FTA berkembang daripada memberi tumpuan hanya kepada perdagangan kepada memasukkan elemen kelestarian.

Sehubungan itu, beliau berkata Malaysia boleh mempromosikan langkah-langkah kerajaan untuk memastikan kelestarian pengeluaran minyak sawit melalui pensijilan MSPO dalam perbincangan FTA sambil turut memperluas akses pasaran.

Beliau berkata penyertaan Malaysia dalam FTA juga membantu syarikat-syarikat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk berintegrasi dalam perdagangan global.

"Selain daripada mengukuhkan hubungan perdagangan, FTA boleh dimanfaatkan untuk menggalakkan kelestarian terutamanya minyak sawit kita yang diperakui MSPO.

“FTA juga menyediakan platform untuk mempamerkan dan mengutamakan pensijilan MSPO bagi memastikan amalan pengeluaran lestari diiktiraf dan dihargai oleh rakan dagang,” kata Nazlin semasa Seminar Tinjauan Ekonomi dan Prospek Minyak Sawit di sini hari ini.

Beliau berkata FTA moden kini memasukkan bab mengenai alam sekitar, buruh, kerajaan, perdagangan dan pembangunan lestari (TSD) serta sistem makanan lestari yang memberi penekanan terhadap kelestarian di seluruh rantaian bekalan.

Beliau berkata apabila pasaran global semakin peka terhadap keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), bab TSD memainkan peranan penting dalam memastikan pertumbuhan ekonomi selaras dengan pembangunan lestari jangka panjang.

"Jadi, bab TSD sebenarnya kritikal untuk mengekalkan akses pasaran kita kerana pembeli global memberi penekanan kepada kelestarian," tambahnya.

-- BERNAMA