Pelaburan Rendah Karbon Diperlukan Bagi Negara Anggota OIC Adalah Purata Sebanyak 1.4 Peratus Daripada KDNK
KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pelaburan diperlukan oleh negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk melaksanakan strategi rendah karbon adalah purata 1.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkat kepada lebih 5.0 peratus bagi negara berpendapatan rendah, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Adnan Zaylani Mohamad Zahid hari ini.
Beliau berkata banyak negara OIC kekal antara rantau paling terdedah kepada iklim di dunia dengan pendedahan tinggi dan kapasiti penyesuaian yang rendah.
“Realiti ini menjelaskan satu perkara dengan jelas, peningkatan kewangan Islam akan bergantung pada keupayaan kita untuk menggerakkan modal swasta dengan berkesan dan pantas,” katanya.
Adnan Zaylani berkata demikian dalam ucaptamanya pada majlis pelancaran laporan bersama Bank Dunia-Bank Pembangunan Islam mengenai Kewangan Islam dan Agenda Iklim: “Daripada Inovasi Sukuk Hijau kepada Rantaian Nilai Halal yang Lebih Hijau” di sini hari ini.
Beliau berkata bahawa memacu tindakan iklim juga memerlukan inovasi dan kemajuan teknologi dengan menyatakan bahawa hanya 3.0 peratus syarikat yang memperoleh pembiayaan ekuiti swasta (PE) atau modal teroka (VC) untuk teknologi bersih dan iklim antara 2017 dan 2024 datang dari negara-negara OIC, menyumbang hanya 0.5 peratus daripada jumlah pelaburan global.
“Ini merupakan peluang yang terlepas. Mengembangkan dan memudahkan pasaran PE dan VC adalah penting untuk memupuk penyelesaian baharu seperti tenaga boleh baharu, pembuatan hijau (mesra alam sekitar), penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan pertanian pintar iklim.
“Kewangan Islam mesti memainkan peranan yang lebih besar dalam membuka ekosistem inovasi ini,” katanya.
Adnan Zaylani berkata membangunkan takaful sebagai mekanisme pemindahan risiko untuk menggalakkan pelaburan berdaya tahan iklim adalah penting, memandangkan jurang yang wujud berbanding alat insurans konvensional digunakan untuk pembiayaan iklim.
Beliau berkata banyak pengendali takaful kekurangan kepakaran teknikal, kapasiti aktuari dan infrastruktur data diperlukan untuk mereka bentuk produk berkaitan iklim seperti perlindungan parametrik untuk kemarau, banjir dan peristiwa cuaca ekstrem.
Di Malaysia, Adnan Zaylani berkata negara ini telah lama berada di barisan hadapan dalam menggerakkan kewangan Islam untuk agenda iklim, bermula dengan sukuk hijau pertama dunia pada tahun 2017 yang meletakkan negara sebagai penerbit terbesar di rantau OIC dengan lebih 47 sukuk hijau dan kemampanan berjumlah AS$13.4 bilion (AS$1=RM4.05).
“Kemajuan ini direalisasikan dengan menerima pakai pendekatan ekosistem komprehensif termasuk pelaksanaan inisiatif pengantaraan berasaskan nilai (VBI) dan panduan sektor rangka kerja penilaian impak pelaburan dan pembiayaan VBI (VBIAF),” katanya.
Setakat ini, 18 komuniti pengamal VBI telah menyalurkan lebih daripada AS$11 bilion dalam pembiayaan hijau Islam, menunjukkan keupayaan sektor ini untuk mengubah tingkah laku pelaburan dan menggerakkan modal yang bermakna ke arah tindakan terhadap perubahan iklim.
Adnan Zaylani berkata BNM komited untuk mengekalkan momentum dan terus membangunkan penyelesaian yang menumpukan pada membentuk mobilisasi modal awam dan swasta yang cekap.
Antara inisiatif yang dijalankan ialah pengenalan i-CITA pada September tahun lepas untuk membolehkan bank-bank Islam merintis kontrak perkongsian risiko serta makmal inovasi kewangan iklim (CFIL), ditadbir oleh Bank Pembangunan Malaysia.
-- BERNAMA