Air Minuman Beroksigen Premium 'OXYKA' Dilancar, Sasar Jualan RM5 Juta Tahun Ini
JOHOR BAHRU, 13 Jan (Bernama) -- Syarikat pengedaran dan pemasaran air sedia diminum berjenama “Haos Ek?”, ADIN Marketing Group Sdn Bhd hari ini secara rasmi melancarkan OXYKA, produk air minuman beroksigen dan beralkali pH 8.5 direka bagi memenuhi keperluan hidrasi berkualiti dalam gaya hidup moden.
Ketua Pegawai Eksekutif ADIN Marketing Group Sdn Bhd (ADIN Marketing) dan Haos Group, Anis Permin berkata OXYKA merupakan hasil kerjasama strategik antara ADIN Marketing dan Hijrah Water Sdn Bhd, menggabungkan kepakaran serta pengalaman kedua-dua pihak dengan pematuhan ketat terhadap proses dan piawaian industri sekali gus memastikan produk itu diyakini dari segi kualiti, keselamatan dan kebolehpercayaan.
“Gabungan tiga teknologi utama dalam OXYKA, iaitu teknologi pengalkalian, pengoksigenan dan teknologi nano, menjadikan produk ini berkualiti tinggi dengan rasa lebih segar, tekstur lebih ringan serta pengalaman hidrasi yang menyeluruh.
“Air minuman ini memberikan hidrasi lebih efektif dan sesuai dengan keperluan kehidupan moden yang pantas dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran OXYKA di Pulai Spring Resort di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Operasi ADIN Marketing, Mohamad Shahrin Jaafar; Pengarah Urusan Hijrah Water Sdn Bhd, Mohamad M. Said serta Ketua Pegawai Eksekutif Hijrah Water Sdn Bhd, Farid Hamzi Mohamad.
Beliau berkata tahun ini, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta dan berharap OXYKA dapat dipasarkan di 3,000 outlet di bawah rangkaian pengedaran Haos Ek?, seiring dengan usaha memperluas capaian produk itu ke seluruh negara, pada masa sama menyasarkan pengembangan ke pasaran luar termasuk Singapura dan Indonesia.
Mengulas keyakinan terhadap produk berkenaan, Anis berkata OXYKA dilancarkan tepat pada waktunya sejajar dengan perubahan gaya hidup masyarakat yang semakin mementingkan kesihatan.
Bersempena bulan Ramadan, beliau berkata ADIN Marketing turut menawarkan promosi khas menerusi platform e-dagang bagi menggalakkan orang ramai mencuba produk tersebut.
Selain itu, Anis berkata pihaknya juga merancang untuk memperkenalkan saiz botol lebih kecil iaitu 250 mililiter pada masa depan berbanding ketika ini, OXYKA boleh didapati di stesen minyak, pasar raya serta kedai-kedai runcit terpilih dan ditawarkan dalam botol bersaiz 500 mililiter.
“Jika di pasaran runcit biasa kami menjual secara sebotol atau 24 botol sekotak tetapi apa yang menarik, pada bulan Ramadan, kami menawarkan enam botol bagi satu kotak di platform e-dagang.
“Promosi ini bertujuan memberi peluang kepada pengguna merasai manfaat OXYKA khususnya dari segi penyerapan oksigen lebih baik kepada tubuh selepas seharian berpuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut membuka peluang kepada usahawan tempatan khususnya di Johor untuk menjadi ejen dan peruncit, individu atau syarikat berminat boleh menghubungi pihak syarikat melalui media sosial Haos Ek? atau melayari laman web www.haos.my.
Beliau berkata pelancaran OXYKA hari ini secara rasmi menambah kepada barisan produk Haos Ek? menjadikan keseluruhan sebanyak 17 produk berada di bawah jenama tersebut.
--BERNAMA