BERITA TERKINI   Langkah penyusunan semula perbelanjaan kerajaan tidak jejas sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan - PM Anwar  | Konflik serantau di Asia Barat jejas keselamatan laluan maritim, tingkat kos penghantaran dan insurans - PM Anwar | Malaysia kekal berprinsip dalam isu global termasuk konflik di Asia Barat namun pragmatik dalam menjaga kepentingan ekonomi - PM Anwar | Syarikat mainan pereka tempatan, Milolo Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran LEAP dibuka pada 12 sen, premium dua sen daripada harga IPO sebanyak 10 sen, dengan 2,800 saham diniagakan | PM gesa penjawat awam fahami kekangan fiskal negara, sampai maklumat tepat kepada rakyat bagi elak kekeliruan | 

KDNK Suku Keempat 2025 Dijangka Catat Pertumbuhan Positif

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku keempat 2025 yang akan diumumkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini, dijangka menunjukkan pertumbuhan yang positif.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata prestasi itu mencerminkan kedudukan ekonomi negara berada pada landasan yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan perlu bersiap sedia untuk berdepan dengan sebarang kompleksiti ekonomi.

"Pada masa yang sama kita kena sentiasa komited untuk menghadapi tahun 2026 yang dijangka penuh berliku khususnya di peringkat antarabangsa.  

"Ini untuk memastikan kita ini tidak terdedah dengan sebarang keadaan geopolitik di luar sana," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penyerahan cek cura bantuan awal persekolahan negeri Johor, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai sentimen awal kerajaan terhadap prestasi ekonomi Malaysia bagi suku keempat.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata kerajaan perlu bersedia berdepan sebarang ketidaktentuan ekonomi susulan keadaan geopolitik, termasuk konflik antara Iran dan Amerika Syarikat.

Justeru, katanya, kerajaan akan memastikan ekonomi terus diperkukuhkan supaya sebarang ketidaktentuan di luar negara, tidak memberi kesan langsung atau mendadak kepada ekonomi negara.

"Kita kena pastikan bahawa (usaha) bukan sahaja dalam menarik pelaburan, tetapi juga dari segi perbelanjaan rakyat," katanya.

Menurutnya, pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) juga perlu dilakukan dengan teliti dan mengikut perancangan, sekali gus menunjukkan tatakelola yang baik.

-- BERNAMA