BERITA TERKINI   Piala Malaysia: UM-Damansara United 0-2 Terengganu FC | Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong akan dilaksanakan kerajaan dengan tegas - PM Anwar | PM Anwar zahir penghargaan kepada petugas jayakan Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 | 

Projek Rianlon Bernilai Rm1.27 Bilion Perkasakan Usaha Pembuatan Bernilai Tinggi Di Johor - Onn Hafiz

JOHOR BAHRU, 19 Jan (Bernama) -- Keputusan Rianlon Corporation untuk menubuhkan kemudahan penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pembuatan di Johor mencerminkan keyakinan pelabur yang kukuh dan berterusan terhadap negeri ini sebagai hab serantau untuk pelaburan bernilai tinggi dan dipacu teknologi.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata projek bernilai RM1.27 bilion itu akan dibangunkan dalam dua fasa, terdiri daripada RM820 juta untuk Fasa Satu dan RM450 juta untuk Fasa Dua dan dijangka menawarkan kira-kira 300 peluang pekerjaan terutamanya untuk rakyat Johor apabila beroperasi sepenuhnya.

Rianlon adalah penyedia global bahan tambahan dan teknologi anti-penuaan untuk bahan polimer.

Onn Hafiz berkata pelaburan itu susulan sesi libat urus dengan barisan kepimpinan Rianlon termasuk pengerusinya Lee Hai Ping, di Beijing, China pada 22 Disember, tahun lepas.

“Dalam tempoh sebulan, kerajaan negeri Johor, bersama-sama rakan sejawatnya di peringkat persekutuan, menyelesaikan kebimbangan dibangkitkan oleh Rianlon,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah di Taman Perindustrian Tanjung Langsat, Pasir Gudang hari ini.

Komitmen untuk memudahkan pelaburan diterajui oleh Pusat Memudah Cara Pelaburan Malaysia Johor (IMFCJ), ditubuhkan kira-kira dua tahun lepas untuk mengintegrasikan agensi negeri dan persekutuan di bawah satu bumbung.

Beliau berkata kerja-kerja pembinaan Fasa Satu untuk pembangunan Rianlon Malaysia Senai Bhd sudah pun dijalankan.

Libat urus dengan pelabur di China baru-baru ini juga mengetengahkan keperluan untuk memperkukuh penyelarasan di luar agensi kerajaan khususnya dengan penyedia utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Ranhill SAJ serta pemaju perindustrian, katanya.

“Bagi pelaburan strategik termasuk yang berada dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura...perniagaan tidak boleh beroperasi seperti biasa. Johor bukan sahaja menawarkan fast lane tetapi juga memperkenalkan super lane untuk mempercepatkan pelaksanaan projek,” katanya.

Onn Hafiz berkata Johor mencatatkan pelaburan diluluskan sebanyak RM91.1 bilion setakat suku ketiga 2025 dan berada di landasan betul untuk merekodkan melebihi RM102 bilion pada suku keempat 2025.

Momentum pertumbuhan Johor akan terus didorong oleh kerjasama kukuh dengan pelabur dari China, Eropah, Amerika Syarikat dan rakan strategik utamanya, Singapura, ketika negeri itu menuju ke arah menjadi negeri maju menjelang 2030 di bawah agenda Johor Maju 2030.

Rianlon Corporation, sebuah perusahaan berteknologi tinggi nasional telah disenaraikan antara 500 Perusahaan Petroleum dan Kimia Teratas dan 100 Perusahaan Kimia Halus Teratas di China selama enam tahun berturut-turut.

-- BERNAMA