BERITA TERKINI   Pengembangan berterusan portfolio pinjaman dan deposit tingkatkan untung bersih Public Bank kepada RM1.75 bilion pada suku pertama 2026 daripada RM1.74 bilion suku pertama 2025 | KPT struktur semula 36 politeknik, tawar pengajian peringkat Ijazah dan Sarjana selari keperluan industri berteknologi tinggi - Zambry | Permintaan buruh Malaysia meningkat 1.8 peratus tahun ke tahun, merekodkan 9.23 juta jawatan pada suku pertama 2026 - DOSM | Kerajaan teliti insentif untuk percepat penggunaan trak EV susulan peningkatan kos subsidi diesel - Loke | Malaysia perlu bina kemampuan eksport berdaya tahan dan tidak bergantung kepada pelepasan tarif sementara AS - Akmal Nasrullah | 

AAX Tukar Jawatan Benyamin Ismail Sebagai Pengurus Besar, Lantik Tharumalingam CEO Kumpulan

KUALA LUMPUR, 19 Jan (Bernama) -- AirAsia X Bhd (AAX) menukar jawatan ketua pegawai eksekutifnya (CEO) Benyamin Ismail kepada pengurus besar berkuat kuasa hari ini sebagai sebahagian daripada penstrukturan perniagaan penerbangan AirAsia Group di bawah AAX.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata Benyamin, 48, yang menyertai AirAsia pada Mac 2010 berkhidmat sebagai CEO AAX sejak 1 Sept, 2015.

Selepas penstrukturan semula hutang yang berjaya, AAX mengekalkan rekod keuntungan suku tahunan di bawah kepimpinannya yang turut memainkan peranan penting dalam pemulihan syarikat daripada status Nota Amalan 17 (PN17), kata syarikat itu.

"Setakat ini, syarikat kekal membuat keuntungan dalam operasi semasanya.

"Dalam peranan baharunya sebagai pengurus besar, Benyamin akan terus menjadi pengurus yang bertanggungjawab bagi AAX dalam mengendalikan operasi harian sebagai syarikat penerbangan," tambahnya.

AAX berkata Benyamin menawarkan kepakaran industri yang luas diperoleh melalui pelbagai peranan dalam sektor kewangan apabila beliau menghabiskan masa selama lapan tahun dalam perbankan pelaburan dengan memberi tumpuan kepada pasaran modal hutang.

Dalam makluman berasingan kepada Bursa Malaysia, AAX juga mengumumkan pelantikan Tharumalingam Kanagalingam sebagai CEO kumpulan baharunya yang juga berkuat kuasa 19 Jan, 2026.

Tharumalingam yang lebih dikenali sebagai Bo Lingam, menyertai AirAsia pada 2001 dengan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik serta rangka kerja operasi AirAsia Aviation Group, kata syarikat itu.

Beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan sepanjang berkhidmat termasuk pengurus kanan perolehan dan bekalan, pengarah perkhidmatan tetamu serantau, ketua operasi dan perancangan serta ketua pegawai operasi kumpulan.

Tharumalingam pernah memegang jawatan presiden dan ketua pegawai operasi kumpulan, timbalan CEO kumpulan penerbangan dan presiden kumpulan penerbangan.

Sebagai CEO kumpulan, Tharumalingam akan terus memacu evolusi syarikat penerbangan dengan memberi keutamaan kepada kecemerlangan operasi, mengoptimumkan proses dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

Beliau juga akan mengukuhkan kehadiran AirAsia di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja serta mengawasi penubuhan syarikat penerbangan baharu dalam kumpulan itu, tambahnya.

-- BERNAMA