BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | 

Strategi Diplomasi Perdagangan Dilaksanakan Bagi Tangani Diskriminasi - Noraini

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Kerajaan mengamalkan strategi diplomasi perdagangan yang dinamik untuk menyesuaikan pendekatan mengikut keperluan pasaran utama bagi menangani sebarang bentuk diskriminasi. 

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata kementerian melaksanakan pendekatan menyeluruh untuk meningkatkan eksport minyak sawit dengan menumpukan kepada pematuhan piawaian antarabangsa, kepelbagaian pasaran dan penjanaan nilai tambah industri minyak sawit. 

“Antara usaha yang dilaksanakan di bawah kementerian dan agensinya adalah fokus kepada pasaran minyak premium atau berkualiti tinggi, menggalakkan transformasi industri ke arah produk dengan nilai tambah tinggi dan pada masa sama, pelaksanaan MSPO 2.0 diperkukuhkan supaya minyak sawit dapat memenuhi piawaian antarabangsa,” katanya. 

Beliau menjawab soalan tambahan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) mengenai langkah yang diambil kementerian bagi meningkatkan eksport sawit negara berikutan diskriminasi pada peringkat antarabangsa. 

Dalam pada itu, katanya kementerian melalui Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC)  melaksanakan strategi kepelbagaian pasaran bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti India, China dan Kesatuan Eropah.

Katanya kementerian turut memperkukuh kehadiran di pasaran berpotensi tinggi seperti Sub-Sahara Afrika, Timur Tengah, Afrika Utara dan ASEAN.

“Hasilnya, pada 2025,  pasaran baharu ini menyumbang kira-kira 50 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia. Eksport pasaran tradisional hanya 30 peratus berbanding 43 peratus pada 2024,” katanya. 

Menurutnya, penubuhan Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM) di Shanghai, China turut memperkukuh hubungan industri dan perdagangan Malaysia-China melalui pemindahan teknologi, inovasi produk dan pembangunan aplikasi baharu sawit.

-- BERNAMA