BERITA TERKINI   Dasar Industri Pertahanan Negara tumpu pemantapan ekosistem, rantaian bekalan, daya saing global dan eksport - PM Anwar | APG 2025: Skuad bola keranjang kerusi roda 3x3 lelaki negara raih pingat pertama kontinjen Malaysia, menang pingat gangsa | Dasar Industri Pertahanan Negara langkah strategik bangunkan industri pertahanan tempatan, kurangkan kebergantungan pihak luar - Mohamed Khaled | Dewan Rakyat: Sebanyak 12,509 permohonan dokumen pengenalan diri di Sarawak diselesaikan setakat ini - Saifuddin Nasution | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS, Mata Wang Utama Lain

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Rabu, disokong oleh permintaan sederhana memandangkan kalangan pelabur kekal berhati-hati dan memantau perkembangan ekonomi semasa.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0525/0575 berbanding dolar AS daripada 4.0530/0580 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata sentimen mengelak risiko terus mempengaruhi pasaran kewangan global berikutan kebimbangan berlarutan terhadap tarif dan ketegangan geopolitik.

Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) yang susut 0.83 peratus kepada 98.570 mata boleh memberi sedikit sokongan kepada ringgit.

“Oleh itu, ringgit dijangka menjejaki trend yang sama, dengan sentimen pelabur kekal berhati-hati terhadap pasaran walaupun data ekonomi domestik positif.

“Ringgit dijangka diniagakan dalam julat kecil sekitar RM4.05 hingga RM4.06 hari ini. Sementara itu, keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok mungkin memberikan kejelasan yang lebih baik mengenai prospek ekonomi,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan, ringgit tinggi berbanding beberapa mata wang utama laim.

Unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.5615/5648 daripada 2.5696/5729 ketika ditutup pada Selasa, dan naik sedikit berbanding pound British kepada 5.4462/4529 daripada 5.4618/4686.

Ringgit juga lebih stabil berbanding euro kepada 4.7516/7574 daripada 4.7530/7588.

Ringgit turut diniagakan lebih kukuh kebanyakannya berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1557/1598 daripada 3.1602/1646 ketika ditutup semalam, dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 238.7/239.4 daripada 239.0/239.4.

Bagaimanapun, ringgit susut berbanding baht Thailand kepada 13.0566/0824 daripada 13.0397/0629 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.81/6.83.

-- BERNAMA