BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | 

Pertumbuhan Bayaran Khidmat Hutang Negara Turun Kepada 6.4 Peratus Pada 2025 

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Kerajaan berjaya mengurangkan pertumbuhan bayaran khidmat hutang (DSC) pada 2025 kepada 6.4 peratus berbanding 12.3 peratus pada 2023 dan sembilan peratus pada 2024 berikutan pelaksanaan langkah reformasi fiskal serta pengurusan hutang yang berhemah.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pinjaman baharu berjaya dikurangkan daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM92 bilion pada 2023, RM77 bilion pada 2024 dan diunjurkan sekitar RM75 bilion pada 2025.

“Ini juga akan diusahakan untuk terus diturunkan pada 2026,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) mengenai strategi kerajaan bagi menangani bayaran khidmat hutang yang dijangka mengambil 16.3 peratus daripada jumlah hasil kerajaan pada 2025.

Liew berkata antara strategi fiskal yang berterusan adalah meneruskan langkah konsolidasi fiskal secara beransur-ansur, memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan, antaranya melalui peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta pelaksanaan e-invois.

“Langkah lain termasuk mengoptimumkan perbelanjaan awam, antaranya menerusi pelaksanaan penyasaran subsidi diesel dan RON95 serta langkah rasionalisasi badan berkanun,” katanya.

Beliau berkata pinjaman kerajaan hanya digunakan untuk membiayai projek dan program di bawah perbelanjaan pembangunan yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam jangka panjang.

“Kerajaan juga menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar melalui Akta 850 bagi memastikan pendedahan kerajaan sentiasa terkawal berdasarkan keupayaan kewangan dan ekonomi semasa.

“Di samping itu, kerajaan mengutamakan projek berorientasikan bayaran pengguna melalui Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) serta menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara luar belanjawan,” katanya.

Beliau berkata pengurusan fiskal yang bertanggungjawab, disokong pengurusan ekonomi yang pragmatik akan dapat memacu perkembangan aktiviti ekonomi, pelaburan swasta serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

-- BERNAMA