ASEAN Berpotensi Hasilkan 8.5 Juta Tong SAF Sehari Menjelang 2050 - Laporan
KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Negara-negara ASEAN berpotensi menghasilkan 8.5 juta tong bahan api penerbangan mampan (SAF) sehari menjelang 2050 selaras dengan keperluan mendesak untuk menyahkarbon sektor penerbangan, dengan Malaysia, Vietnam, Indonesia, Filipina dan Thailand mempunyai bahan mentah yang banyak untuk menyokong pengeluaran SAF.
Indonesia, Malaysia dan Filipina akan mempunyai sistem pengedaran yang paling cekap dari segi kos untuk pasaran di Jepun, Singapura dan Korea Selatan, menurut laporan Tinjauan SAF ASEAN 2050 yang dikeluarkan pada 12 Januari lepas.
Laporan itu dihasilkan oleh GHD melalui sokongan kewangan yang disediakan oleh Global Affairs Canada daripada Canadian Trade and Investment Facility for Development. Ia dilaksanakan oleh Cowater International, dengan kerjasama Institute of Public Administrators of Canada dan Global Affairs Canada, dengan Boeing sebagai rakan kongsi pengetahuan dan menyokong Sekretariat ASEAN.
GHD ialah sebuah syarikat perkhidmatan profesional yang beroperasi dalam pasaran global dalam bidang kejuruteraan, seni bina, digital, air, tenaga dan alam sekitar.
Menurut Sekretariat ASEAN dalam kenyataan yang disiarkan di laman web ASEAN hari ini, blok itu dijangka menjadi pasaran penting untuk SAF dengan sendirinya.
“Laporan itu mengunjurkan bahawa permintaan SAF di ASEAN akan meningkat dengan ketara daripada 15,000 tong sehari pada 2030 kepada lebih 700,000 tong sehari menjelang 2050.
“Permintaan terhadap SAF yang tertinggi dijangka dari Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand serta negara-negara Asia lain seperti Jepun dan Korea Selatan,” katanya.
SAF ialah bahan api penerbangan boleh baharu atau daripada bahan buangan yang memenuhi kriteria kemampanan, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau serta sesuai dengan pesawat dan infrastruktur sedia ada sebagai bahan api ‘drop-in’.
Bahan mentah utama SAF di ASEAN termasuklah minyak masak terpakai, bahan buangan daripada tanaman padi, ubi kayu dan aktiviti perhutanan.
Memetik laporan tersebut, perkumpulan serantau itu berkata semua negara ASEAN yang dikaji berpotensi mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk menjadikannya sebagai pengeksport bersih SAF.
Timbalan Setiausaha Agung Komuniti Ekonomi ASEAN Satvinder Singh berkata Tinjauan SAF ASEAN 2050 mengesahkan kelebihan rantau ini yang kukuh dari segi penawaran terutamanya dalam ketersediaan bahan mentah bio yang mampan.
“Pada masa yang sama, permintaan yang meningkat pada peringkat serantau dan global untuk SAF memberikan peluang pasaran yang jelas untuk ASEAN,” katanya.
Beliau berkata negara anggota ASEAN perlu bekerjasama untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran, menggunakan teknologi yang kos efektif dan mewujudkan rangka kerja perdagangan dan pasaran serantau yang kukuh untuk memanfaatkan sepenuhnya permintaan dan penawaran yang dinamik.
“Dengan memadankan sumber pertanian kita yang banyak dengan permintaan SAF yang meningkat, ASEAN boleh menjadi bukan sahaja sebagai hab penerbangan mampan yang berdaya saing, malah sebagai pembekal tenaga yang dipercayai menyokong penyahkarbonan pasaran penerbangan dan tenaga Asia Pasifik yang luas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Kemampanan Serantau untuk Asia Tenggara Boeing Sharmine Tan berkata industri penerbangan komersial Asia Tenggara berkembang dengan pesat untuk menyokong ekonomi serantau yang berkembang serta permintaan daripada penumpang dan kargo udara.
“Selain menambah lebih banyak pesawat yang cekap bahan api dalam kumpulan pesawat, meningkatkan bekalan SAF di Asia Tenggara akan membolehkan pertumbuhan yang bertanggungjawab.
“Tinjauan SAF ASEAN 2050 menunjukkan potensi rantau ini yang kukuh untuk meningkatkan pengeluaran SAF dengan dasar, kerjasama dan pelaburan yang sesuai,” katanya.
-- BERNAMA