BERITA TERKINI   Kapasiti penerbangan domestik ditambah bagi tampung peningkatan permintaan sempena Hari Raya Aidilfitri - Loke | Isu curi kabel MRT: MOT cadang pada KDN pinda undang-undang sedia ada, hukuman lebih berat terhadap pesalah - Loke | Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sasar muktamadkan penyata cadangan pemisahan jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya menjelang pertengahan Mei - Azalina | Tiada pakej rangsangan ekonomi buat masa ini susulan konflik di Asia Barat - Amir Hamzah | Lebih RM7 bilion disalurkan bagi membiayai lebih 11,500 PMKS dan syarikat pemula niaga sejak 2019 - Pengerusi SC | 

Industri Insurans, Takaful Terbit Panduan Harga Rujukan Bagi Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Swasta

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Industri insurans dan takaful menerbitkan panduan rujukan mengenai julat harga bagi perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang lazim di Malaysia.

Panduan rujukan ini merupakan inisiatif bersama Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) di bawah strategi penetapan semula Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, persatuan-persatuan itu berkata panduan rujukan ini memberikan gambaran mengenai julat harga indikatif yang kebiasaannya dikenakan oleh penyedia penjagaan kesihatan swasta bagi perkhidmatan lazim, berdasarkan data tuntutan insurans dan takaful untuk 2024.

"Ia bertujuan sebagai sumber maklumat untuk membantu pengguna memahami dengan lebih baik kos penjagaan kesihatan yang biasa, memudahkan perbincangan yang lebih bermaklumat dengan penyedia penjagaan kesihatan dan merancang untuk kos yang mungkin perlu ditanggung sendiri.

"Mempertingkatkan pemahaman awam tentang caj penjagaan kesihatan merupakan satu daripada langkah ke arah mempromosikan pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mampan, menyokong ketelusan harga yang lebih tinggi dan memperkasakan pengguna untuk membuat keputusan yang lebih bermaklumat," kata mereka.

Mereka berkata julat harga yang diterbitkan bukanlah harga tetap atau harga yang disyorkan dan caj sebenar sebaliknya ia mungkin berbeza bergantung kepada faktor-faktor seperti keadaan perubatan pesakit, kerumitan rawatan dan amalan penyedia perkhidmatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LIAM Mark O'Dell berkata penerbitan panduan rujukan ini mencerminkan komitmen industri lebih luas terhadap ketelusan dan pendidikan pengguna.

"Melalui penyediaan julat harga indikatif, kami menyasarkan untuk memperkasakan pemegang polisi dengan gambaran kos yang lebih baik bagi menyokong keputusan penjagaan penjagaan kesihatan dan kewangan yang lebih bermaklumat.

"Kami juga mengakui caj sebenar mungkin berbeza berdasarkan keadaan individu," katanya.

CEO MTA Mohd Radzuan Mohamed berkata penerbitan ini mencerminkan komitmen industri untuk mempromosikan ekosistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang lebih mampan dan bertanggungjawab.

"Ketelusan kos bukanlah mengenai mengawal harga, tetapi mengenai membina pemahaman bersama dalam kalangan pesakit, penyedia dan pembayar agar penjagaan kesihatan kekal boleh diakses serta perlindungan takaful kekal mampan untuk jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, CEO PIAM Chua Kim Soon berkata julat harga perubatan indikatif dapat membantu mengurangkan kebimbangan kewangan pengguna dengan memberikan gambaran yang lebih jelas tentang kos rawatan yang berpotensi terlebih dahulu.

"Ini memperkasa pengguna bagi membuat keputusan yang lebih bermaklumat dan terlibat dengan lebih aktif dalam perbincangan mengenai penjagaan mereka.

"Ia merupakan satu daripada beberapa inisiatif oleh industri insurans untuk meningkatkan kesedaran mengenai kos perubatan dan menyokong sistem penjagaan kesihatan yang mampan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Panduan rujukan ini boleh diakses secara umum di laman sesawang persatuan-persatuan berkenaan bermula 22 Jan, 2026.

-- BERNAMA