BERITA TERKINI   (RASMI) BN menang di Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 14,214 undi - Pengurus Pilihan Raya | (RASMI) BN menang di DUN Lamag dengan majoriti 5,681 undi - Pengurus Pilihan Raya | Piala Malaysia: DPMM FC 1-1 Kelantan Red Warrior FC | 

Ringgit Diunjur Lebih Tinggi Minggu Depan, Sasar Lepasi Semula Paras 4.00

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan lebih tinggi berikutan pelabur kekal optimis terhadap mata wang tempatan, dengan sasaran untuk melepasi semula paras 4.00 minggu depan.

Pada Jumaat, ringgit melepasi paras psikologi penting 4.00 berbanding dolar AS apabila mencecah paras tertinggi dalam tempoh lebih tujuh tahun pada 3.9992.

Ini juga menandakan paras paling kukuh mata wang Malaysia dalam tempoh lebih tujuh tahun, dengan kali terakhir ringgit berada di paras itu adalah pada 18 Jun 2018 yang mencecah 3.9960/9990.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pelabur juga akan mengalihkan tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang dijadualkan pada 27 hingga 28 Januari.

"Besar kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) akan mengekalkan kadar faedah yang stabil. Bagaimanapun, apa yang lebih penting adalah penilaian terkininya terhadap keadaan ekonomi," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd mengunjurkan ringgit diniagakan dalam julat 4.04-4.05 minggu depan sekiranya keputusan mesyuarat FOMC cenderung untuk menaikkan kadar faedah, yang boleh mendorong indeks dolar AS lebih tinggi.

“Data AS dalam tempoh semalaman dan penjualan di pasaran bon dan ekuiti baru-baru ini dilihat tidak banyak mengubah jangkaan pasaran terhadap langkah Fed yang seterusnya.

“Unjuran asas kami kekal kepada penurunan kadar faedah sebanyak dua kali tahun ini, yang dijangka bermula pada separuh pertama 2026 dan tidak tertumpu pada akhir tahun memandangkan data yang diterima menjelang mesyuarat FOMC pada Mac sewajarnya menyokong langkah penurunan kadar lebih awal,” katanya dalam nota penyelidikan.

Sementara itu, ringgit mengakhiri urus niaga minggu ini dengan lebih tinggi berbanding dolar AS, mengukuh dari segi perbandingan mingguan untuk ditutup pada paras 4.0045/0080 berbanding 4.0555/0605 pada Jumaat lepas.

Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5337/5361 daripada 2.5637/5670 pada minggu sebelumnya, meningkat berbanding euro kepada 4.6993/7034 daripada 4.7076/7134 dan menokok berbanding pound Britain kepada 5.4177/4224 daripada 5.4332/4399 sebelum ini.

Ringgit juga diniagakan mengukuh berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8362/8544 daripada 12.9115/9332 minggu lepas, dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1302/1330 daripada 3.1479/1521.

Mata wang tempatan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 238.0/238.3 daripada 240.1/240.5 minggu lepas dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.77/6.78 daripada 6.83/6.84 sebelumnya.

-- BERNAMA