BERITA TERKINI   MOT laksana larangan pemanduan kenderaan barangan dan logistik mulai 19, 20, 28 dan 29 Mac sempena Aidilfitri | Harga minyak mentah global kini melebihi US$100 setong, Kerajaan kekal RON95 bersubsidi RM1.99 seliter - Kementerian Kewangan | Gas Malaysia akan bangunkan terminal LNG Yan selepas kelulusan Suruhanjaya Tenaga | Ringgit meningkat kepada 3.9145/9205 berbanding dolar AS semasa ditutup hari ini, daripada 3.9155/9200 pada Selasa | Kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat di Pulau Pinang adalah persinggahan sementara bagi urusan logistik- Khaled Nordin | 

Pertumbuhan Positif, Asas Ekonomi Menggalakkan Tingkat Keyakinan Pelabur Di Malaysia - OCBC

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Asas ekonomi Malaysia “kekal menggalakkan,” disokong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang berkualiti, pertumbuhan memberangsangkan, lebihan perdagangan meluas dan komitmen yang jelas terhadap pengukuhan fiskal, kata OCBC Group Research.

Ketua Ahli Ekonominya Selena Ling berkata faktor-faktor itu dapat membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing dan menambah baik prospek aliran masuk pelaburan.

Lebih penting lagi, beliau berkata pembaharuan struktur akan mendorong pertumbuhan kepada 4.0–4.5 peratus pada 2027-28, terutamanya melalui kemajuan berterusan daripada pelan induk ekonomi.

“Ini juga akan ditunjukkan dalam aliran masuk pelaburan langsung asing yang berdaya tahan ke Malaysia. Kawasan seperti Johor akan terus mendapat manfaat daripada inisiatif seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang kekal sebagai pusat utama aliran pusat data.

"Kami menjangkakan kerajaan kekal teguh dalam melaksanakan pengukuhan fiskal,” katanya dalam satu kenyataan.

Ling juga menjangkakan sokongan dasar fiskal akan kekal bersasar pada 2026, memberikan ruang tertentu kepada dasar monetari untuk bergerak.

Sehubungan itu, OCBC Group Research kekal yakin dengan unjurannya untuk pengurangan kadar faedah sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada separuh pertama 2026.

“Risiko terhadap unjuran kami adalah pertumbuhan ekonomi kekal berdaya tahan, mengurangkan keperluan untuk bank pusat menurunkan kadar dasarnya tahun ini,” katanya.

Mengenai ringgit, beliau berkata prestasi mata wang tempatan yang lebih baik berbanding dolar AS yang dicatatkan pada 2025 dijangka berterusan sehingga 2026, walaupun kadar kenaikannya mungkin lebih sederhana.

Prestasi kukuh ringgit dalam beberapa sesi kebelakangan ini disebabkan oleh persekitaran luaran yang kondusif hasil daripada kitaran pelonggaran Rizab Persekutuan AS (Fed), keadaan dolar AS yang lebih baik, yuan China yang relatifnya stabil dan sentimen risiko yang meningkat ekoran optimisme baharu terhadap kecerdasan buatan (AI), katanya.

Selain itu, Ling berkata mesej yang membina daripada pembuat dasar, termasuk kenyataan sebelum ini bahawa dolar AS/ringgit boleh diniagakan “sedikit di bawah paras 4” menjelang pertengahan 2026, turut menyumbang kepada sentimen yang lebih positif.

Beliau menekankan bahawa perkara ini telah mula menunjukkan kesannya dan keadaan luaran pula kekal menyokong.

“Yuan China yang lebih berdaya tahan terus menjadi penstabil bagi ringgit manakala Fed berada dalam kitaran pelonggarannya, dijangka terus menyediakan latar belakang yang kondusif,” tambah beliau.

Sehubungan itu, OCBC Group Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 yang bersifat konservatif pada 3.8 peratus berbanding 4.8 peratus pada 2025.

“Profil pertumbuhan KDNK kami menunjukkan sedikit kelemahan dalam pertumbuhan akan berlaku secara beransur-ansur kepada 3.9 peratus pada separuh pertama 2026 dan 3.8 peratus pada separuh kedua 2026.

"Bagaimanapun, ledakan AI dan pusat telah memacu pertumbuhan pada 2025 dan jika ia berterusan tahun ini, terdapat kemungkinan risiko peningkatan kepada pertumbuhan,” kata Ling.

-- BERNAMA