BERITA TERKINI   AirBorneo rancang lancarkan penerbangan permulaan dari Kuching ke Singapura, Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu pada Julai - CEO Megat Ardian | Tambang penerbangan AirBorneo buat masa ini tidak berubah walaupun harga bahan api global meningkat - CEO Megat Ardian | AirBorneo rancang lancar operasi jet serantau dari Kuching menggunakan tiga pesawat Boeing 737-800 pada Julai - CEO Megat Ardian | Anak syarikat Aneka Jaringan peroleh kontrak Projek Sambungan Lebuhraya Pantai Baharu daripada IJM Construction bernilai RM82.8 juta | Pharmaniaga akan keluar daripada status PN17 bermula 9 pagi, 17 Mac 2026 - Bursa Malaysia | 

OCBC Naikkan Unjuran Harga Emas Kepada US$5,600 Susulan Momentum Kukuh

KUALA LUMPUR, 26 Jan (Bernama) -- Harga emas dijangka disemak naik, dengan unjuran meningkat kepada US$5,600 bagi setiap auns menjelang akhir 2026, menokok daripada unjuran sebelumnya US$4,800, yang mencerminkan perkembangan terkini dan daya tahan lebih kukuh berbanding jangkaan, kata OCBC Group Research.

Menurut Ahli Strategi Pertukaran Asingnya Christopher Wong berkata hutang kerajaan, kebimbangan mengenai geopolitik dan ketidakpastian dasar telah mempercepat penilaian semula struktur peranan emas dalam portfolio pelaburan.

“Perubahan yang berlaku adalah tahap peruntukan, dan bukannya alasan munasabah untuk memegang emas.

“Emas bukan lagi sekadar digunakan untuk lindung nilai krisis atau lindung nilai inflasi; ia semakin dilihat sebagai aset penyimpan nilai yang neutral dan boleh dipercayai, yang turut menawarkan kepelbagaian meliputi pelbagai keadaan makro,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Harga emas telah meneruskan kenaikan yang ketara dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, mendorong harga ke paras tertinggi sepanjang masa melebihi US$5,000 bagi setiap auns dalam keadaan sentimen pasaran yang optimis secara meluas serta permintaan sebagai aset selamat.

Wong berkata pemacu asas kepada aliran meningkat emas sebahagian besarnya masih tidak berubah kerana ketidaktentuan geopolitik terus menjadi sokongan struktur dan bukannya sokongan bersifat sementara atau sekali sahaja, walaupun beberapa konflik tertentu yang semakin reda.

"Perkembangan terkini daripada ketegangan geopolitik di Venezuela dan Greenland sehinggalah ketidakpastian dasar Amerika Syarikat (AS) yang kembali meningkat, telah mengukuhkan risiko dalam perpecahan, sekatan dan ketidaktentuan dasar," katanya.

Beliau berkata keadaan monetari kekal sebagai tonggak penting, dengan dasar secara umumnya cenderung bersifat penyesuaian meskipun pasaran kadangkala menilai semula langkah pelonggaran Rizab Persekutuan AS.

Walaupun momentum mengukuh, Wong menjangka paras harga emas yang lebih tinggi mungkin menyaksikan sedikit sensitiviti terhadap penetapan semula harga makro jangka pendek terutama berkaitan hasil sebenar dan dinamik dolar AS.

"Oleh itu, walaupun prospek emas dalam jangka sederhana masih positif, emas juga mungkin boleh mengalami turun naik yang lebih besar dalam kedua-dua arah," katanya.

-- BERNAMA