BERITA TERKINI   PM jamin kontraktor kecil berprestasi baik akan diberi lebih banyak kontrak untuk berkembang | Peruntukan perolehan kerja untuk Kementerian Pendidikan dinaikkan daripada RM400 juta kepada RM900 juta - PM Anwar | Guru jadi pempengaruh media sosial perlu jaga adab, hujah berlandaskan fakta - PM Anwar | BN umum tanding di semua 56 kerusi DUN pada pilihan raya negeri Johor akan datang - Onn Hafiz | Kerajaan laksana penstrukturan semula kurikulum TVET tahun ini - TPM Ahmad Zahid | 

Angka Ekonomi Positif Berjaya Perkukuh Kedudukan Ringgit - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 27 Jan (Bernama) -- Angka ekonomi yang positif berjaya memperkukuh kedudukan dan nilai ringgit, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata pengukuhan ringgit juga menunjukkan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara sejajar dengan peningkatan angkanya.

“(Pengukuhan) ringgit tidak harus dilihat secara terpisah (tetapi) harus dilihat juga dari segi peningkatan pelaburan dan pendapatan serta (kadar) pengangguran yang berkurangan.

“Angka ekonomi secara keseluruhannya menunjukkan petanda positif dan ini berjaya memperkukuh kedudukan ringgit,” kata beliau pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) mengenai faktor kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta kesannya terhadap eksport dan import negara.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata pengukuhan ringgit tidak menjejaskan aliran eksport dan import negara, malah kerajaan akan terus memperkukuh ekonomi dan menarik pelaburan asing.

“Apabila ringgit mengukuh ada kesan positifnya dan ada sedikit yang membimbangkan kerana ia terkait dengan eksport dan import barangan.

“Namun, pada keseluruhannya, jika kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka itu merosot dan rendah luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan,” kata beliau.

Pada pagi ini, ringgit diniagakan pada 3.9650/9750 berbanding dolar AS daripada 3.9615/9670 semasa ditutup semalam. Kali terakhir ringgit dilihat pada paras ini adalah pada Mei 2018.

-- BERNAMA