BERITA TERKINI   PM Anwar sifatkan usaha damai NGO Islam dan Hindu cerminan kematangan rakyat, tolak perpecahan | Sebanyak RM11.12 juta kerugian libat penipuan dalam talian direkodkan di Kota Kinabalu bagi tempoh Januari hingga 15 Mac lepas - Polis | Anutin Charnvirakul dipilih semula sebagai PM Thailand dengan mandat kuat Parlimen | Untung bersih Yinson Holdings Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Jan 2026 susut kepada RM683 juta daripada RM1.24 bilion pada tahun kewangan 2025 | Dua maut, empat cedera dalam kemalangan babit dua kenderaan di simpang Felda Sungai Ara dekat Kota Tinggi - bomba | 

Zoho Corporation Buka Pejabat Serantau Di Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Zoho Corporation, syarikat teknologi global membuka pejabatnya di Subang Jaya, Selangor, bagi memperkukuh komitmennya kepada pelanggan serantau dan menyokong aspirasi transformasi digital Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Zoho Corporation berkata pejabat baharu itu yang menempatkan pasukan daripada Zoho dan ManageEngine, dua bahagian utama dalam syarikat berkenaan, akan berfungsi sebagai hab pembangunan kemahiran, bengkel, program latihan dan acara komuniti untuk membantu pelanggan dan rakan kongsi membina kecekapan digital dan keselamatan siber yang lebih kukuh.

Naib Presiden dan Pengurus Besar Zoho Corporation untuk Asia Pasifik Gibu Mathew berkata perusahaan kini menekankan penggunaan teknologi yang bukan sahaja berkuasa, tetapi juga selamat dan lebih mudah digunakan ketika Malaysia memasuki fasa kematangan digital yang lebih kritikal.

“Matlamat kami adalah untuk berada bersama perusahaan kecil dan sederhana tempatan, rakan kongsi dan agensi kerajaan serta menyokong mereka secara berkesan dalam menerima pakai kecerdasan buatan, teknologi awan dan penyelesaian tempat kerja moden,” kata Mathew.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ManageEngine Rajesh Ganesan berkata misinya sebagai sebahagian daripada Zoho Corporation adalah untuk mempermudah transformasi digital kepada para pelanggan dengan membantu mereka membina dan mengendalikan infrastruktur digital yang mantap, berdaya tahan dan selamat.

“Memperkembangkan kehadiran kami di pasaran tempatan merupakan teras kepada misi itu, membolehkan kami bekerjasama rapat dengan pelanggan dan rakan kongsi dalam menangani keperluan teknologi maklumat (IT) perusahaan yang kompleks.

"Pembukaan pejabat ini mengukuhkan komitmen jangka panjang kami terhadap Malaysia dan rantau ASEAN yang lebih luas,” katanya.

Zoho Corporation ialah syarikat teknologi persendirian yang ditubuhkan pada 1996 dengan lebih 18,000 kakitangan di seluruh dunia. Ia merupakan syarikat induk kepada jenama teknologi, termasuk ManageEngine, Zoho, TrainerCentral dan Qntrl.

-- BERNAMA