BERITA TERKINI   Pelaburan Intel di Malaysia bakal berkembang dengan kompleks pembungkusan termaju dan pembuatan pemasangan akan bermula operasi pada lewat tahun ini - PM Anwar  | Pemandu e-hailing, P. Mahendra Bhoopaty, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan yang boleh mengganggu ketenteraman awam pada 27 Feb | Arun Dorasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi atas pertuduhan membuat kenyataan sebabkan kegentaran awam tahun lepas | Zamri Vinoth didakwa buat kenyataan timbul kegentaran awam semasa perhimpunan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara | 

Ringgit Meningkat Semula, Antara Mata Wang Berprestasi Terbaik Di Asia - Ahli Ekonomi Bank Dunia

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Ringgit mencatatkan peningkatan semula yang lebih kukuh, melonjak daripada paras kira-kira 4.70 berbanding dolar AS beberapa tahun lepas kepada paras 3.90 pada masa ini, menjadikannya antara mata wang berprestasi terbaik di Asia, kata Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia Apurva Sanghi.

Pada 4.15 petang, ringgit diniagakan pada 3.9135 berbanding dolar AS.

Beliau berkata ekonomi Malaysia menunjukkan prestasi yang baik, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang kukuh, inflasi yang rendah dan peningkatan gaji sebenar.

“Ringgit yang mengukuh membantu menurunkan harga barangan makanan import seperti bawang, kubis dan beras,” katanya dalam catatan di platform media sosial X hari ini.

Dalam catatan yang sama, katanya pelancongan telah menjadi sektor yang positif kepada negara dan menekankan keperluan bagi Malaysia untuk memaksimumkan nilai setiap pengunjung melalui pelancongan berasaskan pengalaman seperti lawatan Gua Mulu di Sarawak.

Beliau turut mengetengahkan kebimbangan mengenai kecerdasan buatan (AI) dan sektor pekerjaan, menyatakan bahawa kira-kira separuh daripada pekerja Malaysia berdepan dengan risiko automasi yang tinggi manakala kira-kira satu perempat terdedah kepada AI generatif.

“Kehilangan pekerjaan adalah realiti tetapi sejarah menunjukkan bahawa gelombang teknologi yang luas turut mewujudkan pekerjaan baharu seperti pada era Internet pada tahun 1990-an.

“Pada masa itu, tidak ramai yang menjangka bahawa pekerjaan yang amat menarik akan terdapat di syarikat seperti Facebook, Apple dan Google,” katanya.

Apurva berkata pekerjaan pada peringkat awal era AI telah wujud termasuk jurulatih AI, pengurus data  dan jurutera prompt manakala pekerjaan melibatkan ‘sentuhan manusia’ seperti penjagaan warga emas dijangka menyaksikan pulangan yang kukuh dan meningkat.

“Bagi Malaysia yang menuju ke arah negara menua, ini merupakan peluang yang terbuka luas dan belum dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.

-- BERNAMA