MOF Teliti Kesesuaian Pengeluaran Caruman KWSP Untuk MHIT - Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kementerian Kewangan (MOF) masih berbincang dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meneliti sama ada konsep Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas boleh diterima sebagai sebahagian produk yang dibenarkan untuk pengeluaran oleh pencarum.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata MOF menjangkakan menerusi pendekatan ini serta sokongan daripada semua pihak satu sistem yang lebih baik dan menyokong sistem kesihatan kerajaan dapat diwujudkan.
“Jadi insurans asas ini penting untuk memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) yang ingin tahu kesediaan kerajaan membenarkan pembeli insurans menggunakan wang caruman KWSP.
Sementara itu, beliau berkata menerusi produk insurans sedia ada, sebagai langkah pemulaan, MOF menjangkakan satu kaedah untuk mengawal kenaikan kos dengan memasukkan konsep pembayaran bersama.
“Pembayaran bersama ini bukan bertujuan mengenakan bayaran yang tinggi, tetapi untuk memastikan ketelusan harga serta pihak yang menyediakan insurans bertanggungjawab mengawal kos perkhidmatan kesihatan.”
“Dengan adanya mekanisme ini, kawalan dari segi penerima dan penyedia perkhidmatan akan menjadi lebih baik,” katanya.
Amir Hamzah berkata MOF sentiasa menerima cadangan orang ramai untuk penambahbaikan sistem insurans dengan projek rintis MHIT Asas yang akan bermula Jun ini akan menguji penerimaan masyarakat.
“Melalui projek rintis ini kita akan menguji penerimaan, dan setakat ini, kumpulan sasaran menunjukkan sambutan yang baik,” kata beliau.
Menjawab pertanyaan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu), beliau berkata Bank Negara Malaysia sebagai agensi kawal selia industri insurans akan membuka penyertaan kepada semua pengendali insurans dan takaful ITO untuk menyertai skim asas MHIT.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata pelan MHIT asas akan ditawarkan kepada semua syarikat insurans pada harga yang sama.
“Ia adalah produk asas yang dibuat untuk industri. Semua ITO akan menggunakan harga yang sama kerana kita mahu premium lebih telus dan risiko dikongsi bersama. Dengan peluasan skop dan penyertaan lebih ramai, premium dalam sistem ini boleh dikurangkan lagi,” katanya.
-- BERNAMA