BERITA TERKINI   Virus Nipah: Warga Malaysia yang sedang melancong ke India atau berada di India disaran mengambil langkah berjaga-jaga dan mengamalkan kebersihan diri yang baik | 

MIDA Terus Bina Hubungan Erat Pemula Niaga-Pelabur Menerusi Kerjasama Industri

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus memudah cara hubungan erat pemula niaga dengan pelabur menerusi langkah menggalakkan kerjasama industri-pemula niaga dalam sektor berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pihaknya akan bekerjasama rapat dengan rakan ekosistem bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi yang berdaya saing untuk pelaburan diterajui inovasi.

“Malaysia mempunyai asas yang kukuh dari segi bakat, modal, infrastruktur dan hala tuju nasional yang jelas, dan kini kita perlu menyatukan kelebihan ini secara lebih terselaras dan terancang.

“Jika kita berjaya, kita bukan sahaja memupuk pemula niaga, malah juga membina syarikat yang menjadi tonggak industri, menjana pekerjaan berkualiti dan bersaing dengan penuh yakin di peringkat global,” katanya ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus Strategik Beyond4 2026 mengenai Ekosistem Pemula Niaga Malaysia di sini, hari ini.

Program separuh hari itu bertujuan memupuk kerjasama, meneroka peluang pelaburan dan mengenal pasti intervensi strategik yang dapat mempercepat pembangunan ekosistem pemula niaga bertaraf dunia di Malaysia.

Beliau berkata MIDA memberi tumpuan kepada usaha menarik pelaburan ke Malaysia susulan perubahan landskap pelaburan, apabila pelabur kini lebih menekankan kelebihan ekosistem, keupayaan teknologi dan potensi pertumbuhan jangka masa panjang melangkau insentif.

Menyedari perubahan itu, Sikh Shamsul Ibrahim berkata pihaknya memperluas peranan dengan memperkukuh usaha menghubungkan ekosistem dan menghimpunkan syarikat multinasional, industri tempatan, pemula niaga, institusi penyelidikan dan pelabur di samping meneruskan aktiviti penggalakan pelaburan.

““Kami mahu peranan yang lebih jelas di seluruh rantaian nilai, hubungan lebih kukuh antara pemula niaga dan korporat, serta jaringan lebih baik dengan pelabur domestik dan antarabangsa.

“Bagi pelabur yang hadir hari ini, Malaysia menawarkan lebih daripada sekadar pengasas yang berpotensi. Kami menawarkan kekukuhan industri, kesalinghubungan serantau dalam ASEAN, infrastruktur semakin baik dan persekitaran dasar yang stabil,” katanya.

Beliau berkata pemula niaga bukan peserta sampingan, sebaliknya rakan berpotensi dalam peningkatan industri, transformasi digital dan daya tahan rantaian bekalan.

Menerusi sokongan serta akses yang tepat, mereka boleh memberi sumbangan besar kepada matlamat ekonomi yang lebih luas, katanya.

CEO MIDA itu berkata di peringkat global, pemula niaga sedang membentuk semula industri dengan memperkenalkan teknologi baharu dan meningkatkan produktiviti malah dalam sesetengah keadaan, mencabar model perniagaan yang telah wujud sekian lama.

“Bagi Malaysia, perubahan ini merupakan peluang dan juga tanggungjawab. Melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan inisiatif nasional berkaitan, kita telah menetapkan hala tuju yang jelas -- untuk bergerak ke arah ekonomi yang lebih bernilai tinggi dan dipacu inovasi,” katanya.

-- BERNAMA