BERITA TERKINI   Kontrak penganjuran MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang dilanjutkan lima tahun hingga 2031 - Menteri KBS | Malaysia perlu persiapkan tenaga kerja hadapi era AI melalui pendidikan lebih berkualiti, latihan kemahiran dan pembangunan bakat - PM Anwar | Keputusan Ant International wujudkan pusat operasi globalnya di Malaysia cerminkan keyakinan meningkat terhadap kekuatan negara dalam bidang teknologi, inovasi dan AI - PM Anwar | Teknologi, kewangan dan inovasi perlu wujudkan pekerjaan berkualiti, memperkukuh industri tempatan, menyokong perniagaan dan meningkatkan akses kepada perkhidmatan mampu milik - PM Anwar | Lebih 59,000 bekas pelajar tajaan JPA yang tamat pengajian pada atau sebelum 31 Dis 2024 layak memohon Opsyen PBU Akademik Fasa Kedua - JPA | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hari ini berikutan jangkaan permintaan eksport yang lebih kukuh dalam beberapa minggu akan datang, kata seorang peniaga.

Peniaga Proprietari David Ng dari Iceberg X Sdn Bhd berkata pengeluaran yang lebih lemah turut menyokong sentimen pasaran. "Kami melihat sokongan pada paras melangkaui RM4,280 dengan rintangan pada RM4,480 satu tan," katanya kepada Bernama.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata gelombang pembelian yang dipacu oleh sentimen positif telah meningkatkan niaga hadapan MSM, walaupun wujud beberapa pengambilan untung, "Penyusutan ringgit berbanding dolar US turut membantu kenaikan niaga hadapan sawit," katanya.

Ringgit ditutup rendah berbanding dolar US hari ini berikutan keputusan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah, ini memberikan kestabilan kepada dolar US.

Pada penutupan, kontrak Februari 2026 menokok RM22 kepada RM4,220 setan, Mac 2026 naik RM42 kepada RM4,298 dan April 2026 menambah RM45 kepada RM4,317.

Kontrak Mei 2026 meningkat RM46 kepada RM4,312, Jun 2026 melonjak RM44 kepada RM4,292 dan Julai menambah RM43 kepada RM4,266.

Jumlah dagangan mengukuh kepada 97,561 lot berbanding 73,426 lot yang dicatatkan pada Rabu, manakala kepentingan terbuka mencatatkan peningkatan kepada 218,191 kontrak daripada 216,758.

Harga MSM fizikal untuk Februari Selatan adalah RM30 lebih baik kepada RM4,240 setan.

-- BERNAMA