MITI Bakal Laksana Kerangka Insentif Baharu Bermula Mac 2026

KUALA LUMPUR, 29 Jan (Bernama) -- Kerajaan akan melaksanakan Kerangka Insentif Baharu (NIF) berkuat kuasa 1 Mac 2026, bermula dengan sektor perkilangan dan diikuti oleh sektor perkhidmatan pada suku kedua 2026, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). 

Pelaksanaan kerangka baharu itu menandakan anjakan dasar strategik yang ketara dalam landskap insentif pelaburan Malaysia, bertujuan memastikan negara kekal kompetitif, mampan dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi global. 

MITI dalam satu kenyataan hari ini berkata NIF juga bertujuan mengukuhkan daya tahan ekonomi Malaysia dengan mengaitkan pemberian insentif kepada pencapaian hasil yang spesifik sejajar keutamaan strategik negara. 

“Kerangka ini mengguna pakai pendekatan berperingkat dan berasaskan hasil yang selari dengan aspirasi dasar ekonomi dan perindustrian negara.

“Pelaksanaannya berpandukan kepada dua strategi utama negara iaitu Dasar Pelaburan Baharu berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya. 

Oleh itu, seiring dengan pelaksanaan NIF, MITI berkata kerajaan tidak lagi menerima permohonan baharu insentif untuk sektor perkilangan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 (PIA 1986).

Tarikh akhir bagi mengemukakan permohonan insentif di bawah PIA 1986 untuk sektor perkilangan adalah pada 28 Februari 2026, pukul 3 petang. 

“Bagaimanapun, syarikat yang sudah menerima kelulusan dan sedang menikmati insentif di bawah PIA 1986 tidak akan terjejas, dan kelulusan sedia ada akan terus berkuat kuasa mengikut terma serta syarat yang sudah ditetapkan. 

“Bagi memastikan objektif NIF dicapai dengan berkesan, Kad Skor NIA akan digunakan sebagai mekanisme penilaian komprehensif untuk mengukur kesan dan hasil pelaburan berdasarkan keutamaan nasional yang telah ditetapkan,” katanya. 

Sementara itu, kementerian tersebut berkata kerajaan menawarkan dua jenis insentif cukai utama di bawah NIF, yang bersifat saling eksklusif dan pemohon perlu memilih salah satu insentif bagi setiap projek yang layak. 

Ia terdiri daripada Kadar Cukai Khas Istimewa bagi tempoh yang ditetapkan dan Elaun Cukai Pelaburan berdasarkan peratusan Perbelanjaan Modal Yang Layak.

Menurut MITI, pemberian insentif di bawah NIF akan ditentukan berdasarkan komitmen syarikat dan penilaian menerusi Kad Skor NIA, yang mengambil kira sumbangan pelaburan terhadap penciptaan nilai ekonomi.

Selain itu, ia juga mengambil kira sumbangan kepada pembangunan bakat tempatan, pengukuhan rantaian bekalan domestik, pemindahan teknologi dan aspek kemampanan. 

“Syarikat boleh memohon insentif berdasarkan kategori yang ditetapkan, tertakluk kepada pematuhan kriteria berkaitan seperti yang diperincikan dalam Garis Panduan Pelaksanaan NIF bagi Sektor Perkilangan. 

“Garis Panduan Pelaksanaan NIF memperincikan kriteria kelayakan, parameter penilaian di bawah Kad Skor NIA, kategori insentif, serta proses permohonan dan penilaian,” katanya. 

-- BERNAMA