BERITA TERKINI   Kerajaan setuju bayar RM200 sehektar sebagai pendahuluan Bantuan Khas Insentif Pembajakan, manfaatkan hampir 240,000 pesawah - PM Anwar | MARA Corp sasar kurangkan kerugian terkumpul kepada RM49.7 juta menjelang akhir 2026, capai prestasi keuntungan terkumpul menjelang akhir 2027 - Ketua Pengarah | MARA sasar jana nilai melalui pelaburan bersasar, berimpak tinggi berjumlah RM2.2 bilion menjelang 2030, meliputi inisiatif kredit karbon dan pembangunan hartanah bernilai tinggi - Ketua Pengarah | Kadar sewa premis semua agensi kerajaan Persekutuan seperti MARA dan UDA dikurangkan, bantu peniaga kecil - PM Anwar | Cuaca panas: TUDM, Bomba diarah tingkat aktiviti pembenihan awan di utara Semenanjung bagi atasi kesukaran dihadapi petani - PM Anwar | 

Jenama Kopi Malaysia Zus Coffee Tembusi Thailand, Sasar Buka 50 Premis Menjelang 2026

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 30 Jan (Bernama) -- Rangkaian jenama kopi Malaysia, Zus Coffee menyasarkan untuk membuka 50 cawangan di Thailand pada tahun ini susulan pembukaan rasmi premis pertamanya di negara itu pada hari ini.

Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Venon Tian berkata syarikat itu menghabiskan masa kira-kira enam hingga tujuh bulan bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan untuk menyelami pasaran Thailand sebelum majlis pelancarannya.

“(Kemampuan) memasuki pasaran yang berdaya tahan dan pelbagai seperti Thailand, sememangnya  sebegitu bermakna untuk kami sebagai sebuah jenama daripada negara kecil.

“Kami berhasrat untuk membuka 50 premis di sini pada 2026 untuk mengukuhkan kehadiran di salah satu pasaran kopi paling matang di Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama.

Tian berkata usaha pengembangan itu bersandarkan jejak Zus Coffee yang makin berkembang pesat di serata Malaysia, Singapura, Filipina dan Brunei selain bakal menembusi Indonesia.

Terdahulu, Duta Besar Malaysia ke Thailand Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah menghadiri majlis perasmian premis itu di gedung beli-belah di sini, Dusit Central Park.

Zus Coffee pada masa ini merupakan antara rangkaian kopi yang pesat berkembang di Asia Tenggara dan beroperasi di lebih 1,000 cawangan dengan lebih 8,000 pekerja di serata rantau ini.

Menumpukan pasaran asalnya, Tian berkata kumpulan itu menyasarkan untuk membuka 200 cawangan baharu di Malaysia pada 2026 yang seiring dengan permintaan pengguna yang kekal kukuh.

“Walaupun visi kami dijangka melangkaui ASEAN, Malaysia kekal menjadi lokasi yang menyaksikan permulaan semua perkara. Sejajar perancangan membuka 200 cawangan baharu tahun ini, kami akan memasuki dua pasaran baharu iaitu Indonesia dan Pakistan pada suku pertama,” katanya.

Sementara itu, Wan Zaidi menggalakkan lebih banyak syarikat-syarikat Malaysia berkembang ke Thailand, didorong oleh permintaan kukuh serta penerimaan yang positif terhadap jenama Malaysia.

“Kalangan jenama Malaysia, terutama sektor makanan dan minuman, perlu mencontohi Zus Coffee dengan berkembang ke Thailand memandangkan pasaran di sini lebih besar manakala produk-produk Malaysia juga dapat diterima dengan baik,” katanya.

Ditubuhkan di Malaysia pada 2019, Zus Coffee mengembangkan model operasi runcit baharu yang mengutamakan aplikasi di seluruh Asia Tenggara selain menyasarkan untuk mengendalikan sebanyak 1,300 cawangan menjelang akhir 2026.

-- BERNAMA