BERITA TERKINI   SPM 2025: MRSM catat indeks GPM 2.067 dengan 100 peratus calon layak terima sijil - TPM Ahmad Zahid | SPM 2025: TPM Ahmad Zahid bangga empat pelajar Orang Asli peroleh 9A, 114 lagi catat keputusan 5A ke atas | Mahkamah Tinggi KL putuskan Najib Razak bertanggungjawab terhadap kerugian SRC International Sdn Bhd sebanyak USD1.3 bilion | Sistem eAduan gig KESUMA dilancar esok (1 April) bagi pekerja gig salur aduan dan maklum balas - Ramanan | Aplikasi MCMC Nexus membolehkan pengguna menguji kelajuan internet serta menilai prestasi rangkaian di kawasan secara masa nyata - Teo Nie Ching | 

Pengukuhan Ringgit Bukan Luar Jangka, Seiring Keteguhan Ekonomi Malaysia

Oleh Frank Julian Martin

SIBU, 2 Feb (Bernama) -- Pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini sememangnya dijangka memandangkan ekonomi Malaysia terus teguh, dipacu pembangunan infrastruktur, peningkatan ketibaan pelancong di samping harga komoditi serta elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih baik.

Pengerusi Eksekutif Delta Leasing Bhd, Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata ringgit yang lebih kukuh menunjukkan keyakinan kian meningkat terhadap ekonomi domestik, disokong pelaksanaan projek infrastruktur baharu dan pendapatan sektor utama seperti komoditi yang lebih positif terutama sawit.

“Pengukuhan ringgit bukan luar jangka memandangkan ekonomi Malaysia semakin memperoleh momentum melalui pembangunan infrastruktur dan peningkatan aliran masuk pelancong.

“Di samping itu harga komoditi dan produk elektrik dan elektronik (E&E) semakin baik,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini ketika diminta mengulas mengenai prestasi terkini mata wang tempatan.

Hii berkata ekonomi negara yang lebih mantap akan membawa kesan limpahan positif termasuk kepada Sibu, apabila pendapatan pekebun yang lebih tinggi akan meningkatkan perbelanjaan bagi barangan dan perkhidmatan.

“Ekonomi Sibu akan memperoleh manfaat apabila pekebun tempatan terutama dalam sektor sawit, mempunyai pendapatan boleh guna lebih tinggi untuk dibelanjakan di peruncit tempatan. Sektor automotif turut dijangka menikmati pertumbuhan lebih baik,” katanya.

Ringgit mengukuh lebih 10 peratus berbanding dolar AS pada 2025 dan meneruskan aliran meningkat bulan lepas.

Pengukuhan itu didorong oleh potensi pengecilan perbezaan kadar faedah antara Malaysia dan AS, selain asas ekonomi domestik yang kukuh.

Penganalisis menjangkakan ringgit kekal kukuh, dengan unjuran menunjukkan mata wang domestik boleh diniagakan sekitar 3.93 hingga 3.96 berbanding dolar AS dalam beberapa bulan akan datang.

Pergerakan itu dijangka memberi manfaat kepada sektor yang bergantung kepada bahan mentah import dan pihak yang mempunyai hutang dalam denominasi dolar AS, selain meningkatkan keyakinan dalam pasaran ekuiti tempatan.

Hii berkata rakyat Malaysia akan meraih manfaat susulan kos perjalanan menjadi lebih rendah, khususnya ke negara jiran Singapura, apabila ringgit yang lebih kukuh menjadikan perjalanan ke luar negara lebih berpatutan.

Mengenai prospek ringgit, beliau berkata mata wang tempatan dijangka terus mengukuh berbanding dolar AS susulan kebimbangan terhadap ekonomi AS yang mungkin bertambah suram sebelum mengalami pemulihan.

Bagaimanapun, Hii berkata beliau tidak pasti sejauh mana pengukuhan ringgit, justeru menasihatkan rakyat Malaysia yang memegang aset dalam dolar Singapura dan dolar AS supaya mempertimbangkan untuk menukarkannya kepada ringgit.

“Dalam senario ringgit yang semakin mengukuh, saya menasihatkan rakyat Malaysia yang memegang aset dalam dolar Singapura dan dolar AS supaya mengambil langkah semasa dan menukarkannya kepada ringgit. Mereka yang berbuat demikian empat bulan lepas sudah memegang ringgit yang lebih banyak,” katanya.

Beliau berkata aliran masuk yang meningkat boleh disalurkan kepada pelaburan yang produktif termasuk pasaran saham domestik.

“Satu saluran yang baik adalah meningkatkan pelaburan di Bursa Malaysia dan memanfaatkan trend yang meningkat , yang diunjurkan oleh ramai penganalisis,” katanya.

-- BERNAMA